N9 lapor polis isu 2,000 babi ‘hilang’

N9 lapor polis isu 2,000 babi ‘hilang’

Laporan itu dibuat kerana bimbang haiwan itu boleh menyebabkan penularan selesema babi Afrika ke negeri lain.

Aminuddin Harun berkata, babi itu sepatutnya tidak dialihkan selagi JPV belum selesai memeriksa dan mengesahkan semuanya bebas daripada jangkitan virus. (Gambar Reuters)
SEREMBAN:
Kerajaan negeri mengarahkan pegawainya membuat laporan polis berhubung pemindahan kira-kira 2,000 ekor babi dari 19 ladang tidak berlesen di Port Dickson tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata beliau telah meminta exco pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri menyiasat dan membuat laporan polis.

Beliau berkata, kerajaan negeri bimbang haiwan itu boleh menyebabkan penularan selesema babi Afrika ke negeri lain.

“Kita menyerahkan kepada polis untuk menyiasat bagaimana haiwan itu dipindahkan. Babi itu tidak sepatutnya dialihkan sehingga JPV selesai memeriksa dan mengesahkan semuanya bebas daripada jangkitan virus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Hari Raya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) Negeri Sembilan kepada golongan fakir dan miskin bagi daerah Seremban di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, JPV sepatutnya lebih sedar kerana mereka ditugaskan untuk memastikan tiada haiwan dipindahkan dari ladang yang terjejas.

Semalam media melaporkan, kesemua 2,000 ekor babi yang ditempatkan berhampiran dengan ladang yang dikesan dijangkiti penyakit ASF di kampung berkenaan, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak itu telah dilupuskan pada 13 April lalu.

Sementara itu, dalam majlis malam ini Aminuddin berkata, seramai 4,629 fakir dan miskin di negeri ini masing-masing menerima RM700 dan RM500 daripada MAINS, manakala MBI negeri turut menyumbang RM300 sempena perayaan Aidilfitri ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.