
Nor Jaimah Kamaruddin, 38, didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di Butterworth, Pulau Pinang selepas mengaku bersalah menganjurkan kumpulan wang kutu bersama lima yang lain melalui Facebook. Dia mengumpul lebih RM100,000 yang disalurkan terus ke akaun banknya.
Walaupun perbuatan “main kutu” sangat lazim dalam kalangan pekerja kolar biru, wujud garis halus yang membezakan kesahannya di sisi undang-undang.
FMT melihat dengan lebih dekat undang-undang mengenai kutu di Malaysia.
Apa itu tabung kutu?
Tabung kutu, juga dikenali sebagai “tabung chit”, adalah satu skim untuk menyimpan dan mengumpul wang tunai segera daripada caruman yang dibuat oleh sekumpulan individu setiap minggu atau setiap bulan.
Wang yang dikumpul dikeluarkan daripada tabung kutu oleh “ibu kutu” dan diberikan kepada “pemain”, lazimnya melalui mekanisme loteri.
Bagaimana ia berfungsi?
Bayangkan senario ini – Abu dan tiga individu lain membentuk tabung kutu dengan setiap pemain menyumbang RM500 setiap bulan.
Jadi setiap bulan, terdapat RM2,000 dalam tabung kutu dan jika salah seorang daripada mereka memerlukan wang dengan segera, dia boleh membuat bidaan untuk mendapatkan jumlah tersebut.
Contohnya, jika Abu memerlukan RM1,200 untuk membeli telefon baharu dan tiada pemain lain membuat bidaan untuk mendapatkan wang kutu. Abu boleh mendapatkan wang yang dikumpul dan baki RM800 akan diagihkan sama rata antara pemain lain.
Kumpulan itu akan terus mengumpul setiap bulan sehingga semua pemain masing-masing menyumbang RM2,000.
Sebagai alternatif, pemain juga boleh bergilir-gilir setiap bulan untuk mendapatkan keseluruhan wang yang dikumpul.
Sejarah
Tabung chit adalah perniagaan besar di Malaysia dan Singapura pada pertengahan abad ke-20 dan industri ini dikuasai pada 1970-an oleh sebuah syarikat Singapura, Gemini Chit Fund,
Bagaimanapun, industri itu jatuh pada 1973 apabila pengasasnya Abdul Gaffar Mohamed Ibrahim didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah melibatkan SGD3.2 juta dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Dianggarkan 40,000 pelabur kerugian kira-kira SGD50 juta. Kes tabung chit Gemini menyebabkan perniagaan kutu diharamkan di Malaysia dan Singapura.
Di sisi undang-undang
Menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), tabung kutu tradisional sah di sisi undang-undang apabila diamalkan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan kerana ia berdasarkan nilai komuniti dan kepercayaan.
Bagaimanapun, ia boleh menyalahi undang-undang apabila seseorang cuba menjalankan perniagaan atau mengaut keuntungan daripadanya.
Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir berkata, Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 menyatakan bahawa perbuatan menjalankan perniagaan kutu dan mempromosikan tabung kutu salah di sisi undang-undang.
“Perniagaan kutu biasanya melibatkan liabiliti jenayah dan sesiapa yang menjalankan perniagaan sedemikian melakukan kesalahan,” katanya.
Sejak 2011, hukuman bagi kesalahan ini ditingkatkan kepada denda RM500,000 atau penjara 10 tahun.
Walaupun kutu lazimnya dijalankan secara tidak rasmi di Malaysia, negara seperti India membenarkan ia dijalankan sebagai perniagaan dan dikawal selia.
Amaran
Salim berkata, tabung kutu masih popular terutamanya dalam kalangan pekerja kolar biru kerana sifatnya yang tidak formal.
“Ramai yang jahil tentang undang-undang berkenaan tabung kutu yang bertujuan untuk mengelakkan orang yang tidak bersalah daripada kehilangan wang hasil titik peluh mereka.
“Orang ramai mesti dididik mengenai skim sebegitu terutamanya apabila ia digunakan untuk mengaut keuntungan,” katanya.
Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, penjawat awam tidak digalakkan “bermain kutu”.
“Sekalipun dalam kalangan rakan dan keluarga, ada kemungkinan ia boleh mempunyai impak negatif. Perniagaan kutu menyalahi undang-undang dan harus dielakkan sama sekali,” katanya kepada FMT.