
Soe Mg Mg yang didakwa melakukan di kesalahan itu di Jalan Goh Hock Huat di Klang pada jam 12.10 tengah 7 April lalu didakwa di Mahkamah Majistret Klang mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Mengikut kertas pertuduhan yang dilihat FMT, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki berkenaan kerana dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa Melayu.
Peguamnya, Vinesh Segar berkata, majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid kemudian menetapkan 3 Jun depan untuk sebutan seterusnya bagi membolehkan mahkamah mendapatkan jurubahasa berkaitan membaca semula pertuduhan kepada Soe.
Soe ditahan selepas rakaman kamera papan pemuka berdurasi 45 saat menjadi tular, menunjukkan rakaman seorang lelaki memecut ke arah sebuah kereta dan melompat ke atas bonet mengakibatkan cermin depan kenderaan itu retak.
Pada 14 April, Ketua Polis Klang Utara Vijaya Rao Samachulu berkata, laporan polis telah dibuat oleh pemandu kereta berkenaan.
Menurut laporan itu, pemandu berkenaan membuat laporan polis mengatakan bahawa seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba melintas jalan dan melompat ke cermin depan keretanya.
Lelaki itu, yang mengalami kecederaan ringan, meninggalkan lokasi apabila diberitahu kereta dinaiki mangsa dilengkapi dengan kamera papan pemuka.