
Yeoh berkata kawasan itu tidak boleh lagi dilibatkan dalam pembangunan mega dan perlu dijadikan kawasan tapak warisan.
“Kita telah menulis surat kepada Kementerian Wilayah tapi belum ada jawapan lagi. Kita komited untuk membantu kampung-kampung Melayu terutama Sungai Penchala supaya ia kekal menjadi kawasan tradisi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pejabat Ahli Parlimen Segambut dengan kerjasama Persatuan Anak Jati Penchala (PAJP) malam tadi.
Yeoh berkata, pihaknya dan PAJ telah menghadiri sesi pendengaran awam pada Isnin lalu bagi memberi pandangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak meluluskan projek besar-besaran di Kampung Sungai Penchala.
“Penduduk mahu ciri-ciri tradisi mereka dikekalkan. Bukan senang untuk mencari kampung di Kuala Lumpur sekarang ini, banyak bangunan tinggi,” katanya.
Selain itu katanya, perlu dipastikan juga bahawa tiada ada lagi projek pembangunan besar di kawasan berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko tanah runtuh.
“Sudah ada kejadian tanah runtuh di kawasan ini dan saya tahu DBKL akan melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk membuat kajian menyeluruh melihat pergerakan tanah.
“Oleh itu, kita perlu pastikan jangan ada lagi projek pembangunan besar di kawasan ini,” katanya.