Ketepi serangan peribadi, MPP beritahu calon bertanding

Ketepi serangan peribadi, MPP beritahu calon bertanding

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata rakyat sedang memerhati dan menilai perilaku para calon dan penyokong, manakala musuh politik sudah pasti bersedia mengambil peluang.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution (kiri) dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, ‘berperang mulut’ dalam kempen pemilihan bagi jawatan timbalan presiden parti itu.
PETALING JAYA:
PKR mengingatkan ahli parti bertanding merebut jawatan dalam pemilihan parti itu, Mei ini, supaya menjaga tatatertib dan disiplin sepanjang tempoh berkempen.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, calon bertanding juga perlu mengetepikan serangan peribadi ketika berkempen kerana dibimbangi musuh politik akan mengambil peluang untuk menyerang parti dan kepimpinan.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana calon bertanding, namun kenyataan dikeluarkan, hari ini, dibuat sehari selepas Naib Presidennya, Rafizi Ramli, dan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, bertikam lidah secara peribadi.

Kedua-dua tokoh parti berkenaan bertanding merebut jawatan timbalan presiden yang kosong sejak Mac 2020, susulan timbalan presiden ketika itu, Azmin Ali, dan penyokongnya meninggalkan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baharu.

MPP berkata: “Peringatan tegas kepada semua calon yang bertanding, para penyokong dan anggota PKR amnya agar sentiasa menjaga tata tertib dan disiplin terutama sepanjang tempoh berkempen sehingga selesai proses pengundian pada 22 Mei.

“Rakyat sedang memerhati dan menilai perilaku para calon dan penyokong, manakala musuh politik sudah pasti bersedia mengambil peluang dan kesempatan untuk menyerang parti dan pimpinan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, justeru, pemilihan parti harus dilaksanakan dalam semangat keluarga besar PKR dengan mengetepikan serangan peribadi, selain mengetengahkan idea serta pandangan yang mampu membina semula, termasuk memacu parti jauh ke hadapan.

Dalam ucapan kempen minggu lalu, Saifuddin berkata, beliau berkhidmat kepada parti selama 22 tahun tanpa gangguan, sekali gus dilihat sebagai serangan kepada Rafizi, yang baru-baru ini, kembali aktif dalam politik selepas dua tahun menyepi. Rafizi berkata, beliau memainkan peranan penting membantu dalam arena politik Saifuddin, hari ini, bagaimanapun dinafikan Saifuddin.

Kenyataan MPP itu dikeluarkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.