Sebelum kritik, tolong kenang budi Malaysia kepada pelarian Rohingya, kata aktivis

Sebelum kritik, tolong kenang budi Malaysia kepada pelarian Rohingya, kata aktivis

Kamal Affandi Hashim berkata, Malaysia memberi layanan baik tanpa mementingkan diri dan pelarian Rohingya sepatutnya bersyukur dengan keistimewaan dinikmati mereka.

Kamal Affandi Hashim berkata, kos untuk setiap pelarian dalam tahanan ialah RM40 sehari bagi makanan, tetapi bil itu tidak dihantar ke negara asal kerana ia adalah ihsan Putrajaya. (Gambar APMM)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis sosial hari ini menegur segelintir pihak yang lantang mengkritik pihak berkuasa, terutama pegawai imigresen berhubung insiden tahanan Rohingya lolos dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah pada Rabu lalu.

Kamal Affandi Hashim, yang juga penganalisis jenayah, sebaliknya meminta mereka mengenang kembali budi dan layanan Malaysia terhadap pelarian di negara ini.

Beliau berkata, aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit sepatutnya membuka pusat perlindungan sendiri, jika beranggapan apa yang dilakukan kerajaan salah serta mengambil inisiatif untuk menjaga kebajikan pelarian mengikut piawaian mereka.

Selama ini, katanya, Malaysia memberi layanan baik tanpa mementingkan diri dan pelarian terbabit sepatutnya bersyukur dengan keistimewaan dinikmati mereka, yang bukan hanya terhad kepada makanan harian, malah tempat untuk berteduh, sementara menunggu giliran dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan semula di negara lain.

“Kos setiap orang ialah RM40 sehari bagi makanan ketika mereka dalam tahanan, (tetapi) kita tidak hantar bil ke negara asal kerana ia adalah ihsan kerajaan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Dari segi prosedur yang perlu dilalui pelarian, Kamal Affandi berkata, jika ada yang mendakwa berasal dari mana-mana negara jiran, Jabatan Imigresen tidak boleh menghantar pelarian itu pulang tanpa saluran betul, sebelum mengenal pasti serta mengesahkan identiti mereka dengan negara asal dan mereka hanya boleh dihantar pulang selepas itu.

“Sekiranya terdapat kelewatan dalam semua protokol ini, mereka mungkin terpaksa tinggal lebih lama daripada dijangkakan.

“Kerajaan kita telah buktikan sebelum ini dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat, iaitu kita ingin mengurangkan masalah pelarian.”

Beliau berkata, majoriti pelarian di Malaysia berasal dari Asia Tenggara dan negara terbabit mengambil langkah proaktif dalam proses dokumentasi atau mengesahkan rakyat mereka yang berada di Malaysia.

Beliau turut memuji usaha Putrajaya sanggup menukar bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak lagi digunakan susulan penamatan program itu, untuk dijadikan pusat transit atau depot tahanan sementara bagi mengelakkan kesesakan di kem tahanan sebenar.

“Saya ingin memuji proses pemikiran sebegini yang menyaksikan penukaran kem PLKN kepada pusat tahanan transit imigresen. Bagaimanapun, kita perlu memberi penekanan terhadap nisbah orang yang ditahan dengan tenaga kerja untuk menjaga mereka.

“Bagi kem yang menempatkan lebih 700 tahanan dengan kira-kira 27 pegawai imigresen, nisbah bagi setiap pegawai ialah kira-kira 26 tahanan dan ini sesuatu yang tidak masuk akal.”

Mengulas sama ada tahanan yang lolos mampu membawa kemudaratan kepada masyarakat tempatan di kawasan berhampiran atau mengancam keselamatan negara, Kamal Affandi berkata, aneh jika ada orang yang tidak bimbang dengan kehadiran mereka.

Beliau berkata, beberapa perkara baik timbul susulan insiden itu yang menekankan kepentingan usaha diselaras pihak berkuasa.

“Meskipun imigresen memiliki kaedah sendiri dalam mengawal pusat mereka, komandan dinasihatkan menjalin hubungan kukuh dengan pihak berkuasa tempatan, sama ada polis atau agensi penguatkuasaan lain, kerana ini akan membantu meminimumkan risiko berlaku insiden seperti ini dan meningkatkan tahap kerjasama serta persefahaman sesama mereka.”

Sebelum ini, Mahi Ramakrishnan, aktivis hak asasi manusia yang mengendalikan organisasi bukan berasaskan keuntungan, Beyond Borders berkata, sudah tiba masanya kerajaan berbincang dengan organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain untuk berganding bahu di lapangan dalam mewujudkan laluan selamat ke arah pemberian suaka untuk pelarian, selain akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Kira-kira 4.30 pagi Rabu lepas, 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau. Enam daripadanya maut ketika melintas lebuh raya dekat Jawi, Pulau Pinang, manakala majoriti yang lain ditahan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.