Projek perolehan LCS akan lalui proses telus, kata Hishammuddin

Projek perolehan LCS akan lalui proses telus, kata Hishammuddin

Menteri Pertahanan itu berkata perolehan aset untuk pertahanan negara itu mesti dirancang dengan pendekatan di luar kotak.

Hishammuddin Hussein (tengah) bersama bersama warga tentera darat di Kem Lapangan Terbang Tentera Darat di Sungai Petani, pada Jumaat. (Gambar Bernama)
SUNGAI PETANI:
Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk memperkemas aset angkatan laut negara akan melalui proses yang telus tanpa berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata perolehan aset untuk pertahanan negara itu mesti dirancang dengan pendekatan di luar kotak kerana isu pertahanan serta keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi dengan wang ringgit, selain unsur politik dan pemikiran sempit.

“…jadi saya dan kepimpinan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan buat apa yang patut untuk memastikan tanggungjawab yang kita pikul, amanah yang telah pun diletakkan di atas bahu kita, akan kita tunaikan dengan sedaya-upaya kita mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama warga tentera darat di Kem Lapangan Terbang Tentera Darat, semalam.

Rabu lepas, Kabinet yang bermesyuarat pada hari itu dengan dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.

Untuk rekod, LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM bagi memperkemas aset angkatan laut negara dan semua enam kapal yang dirancang adalah berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis iaitu Naval Group yang dahulunya dikenali sebagai DCNS.

Sementara itu, Hishammuddin berkata dasar perindustrian pertahanan sedang digubal pada masa ini selain Rang Undang-Undang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk dipinda, bagi membantu pencarum serta membela nasib golongan veteran ATM.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedia membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjejaki lebih 90 orang tahanan Rohingya yang masih belum ditemui selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Tahanan Sungai Bakap pada Rabu lepas, sekiranya diminta berbuat demikian.

“Kita belum ada permintaan (bantuan) daripada mana-mana agensi lain tetapi saya tahu bahawa pihak KDN cukup berkemampuan untuk berhadapan isu itu…apa saja diperlukan kalau kita boleh bantu, sebut sajalah untuk kebaikan bersama. Setakat ini saya yakin KDN masih mampu tangani,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.