Pelarian Rohingya lolos kerana pusat tahanan terlalu sesak, kata kumpulan hak asasi manusia

Pelarian Rohingya lolos kerana pusat tahanan terlalu sesak, kata kumpulan hak asasi manusia

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis mendakwa pusat tahanan terlalu sesak dan keadaan itu perlu diperbaiki segera.

Pengasas Refuge for the Refugees Heidy Quah berkata hidup dalam keadaan yang tidak boleh diterima ketika dinafikan akses hak asasi manusia untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan berlakunya keadaan lebih teruk. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan hak asasi manusia dan aktivis mendakwa, kejadian melibatkan lebih 500 pelarian Rohingya meloloskan diri dari depot imigresen pada Rabu lalu membuktikan berlakunya isu kesesakan di pusat tahanan itu.

Mereka menggesa kerajaan menangani keadaan yang teruk itu dan menghentikan penahanan pelarian serta pendatang tanpa dokumen bagi mengatasi masalah berkenaan.

Rusuhan yang tercetus di pusat tahanan di Relau, Bandar Baharu, Kedah memuncak apabila lebih 500 pelarian Rohingya melarikan diri dari pusat terbabit.

Bagaimanapun, enam daripada mereka maut dalam kemalangan jalan raya ketika melarikan diri. Mereka yang terbunuh melibatkan dua lelaki, dua wanita, seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki.

Heidy Quah.

Pengasas Refuge for the Refugees, Heidy Quah berkata, jumlah besar tahanan Rohingya yang lari membuktikan bahawa ia terlalu sesak.

Katanya, hidup dalam keadaan yang tidak boleh diterima ketika dinafikan akses hak asasi manusia untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan berlakunya rusuhan dan insiden melarikan diri.

“Mereka hanya menunggu. Kebanyakannya ditahan dalam tempoh yang tidak tahu berapa lama tanpa diberi peluang untuk bebas dan jelasnya ini telah melanggar hak asasi manusia,” katanya kepada FMT.

Quah berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperbaiki keadaan di pusat tahanan dan NGO sentiasa bersedia untuk melakukannya dengan Putrajaya.

Glorene Das.

“Wang pembayar cukai harus disalurkan untuk tujuan ini dan bukannya membazir untuk menahan pelarian,” katanya.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das mengesa supaya pertubuhan bebas seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan kumpulan masyarakat sivil dibenarkan untuk melawat pusat tahanan terbabit bagi memastikan ia mematuhi piawaian antarabangsa.

Beliau menggesa kerajaan supaya berhenti menjenayahkan individu tanpa dokumen kerana kesalahan mereka hanya bersifat “pentadbiran” semata-mata.

“Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) perlu diberikan akses untuk memproses dokumen pelarian supaya persediaan penempatan semula boleh diproses,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.