Peja persoal status sebenar tanah lapangan terbang di Perak

Peja persoal status sebenar tanah lapangan terbang di Perak

Isu penjualan tanah lapangan terbang itu timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah terbabit sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Ahmad Faizal Azumu bertanya sama ada kerajaan pusat dan Unit Perancang Ekonomi memberi kelulusan pembinaan lapangan terbang di tanah Seri Iskandar, Perak Tengah itu.
PETALING JAYA:
Bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan status sebenar tanah yang dikatakan untuk pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak Tengah, selepas didakwa dijual tanpa pengetahuan Exco negeri ketika itu.

Faizal yang juga menteri belia dan sukan, meminta semua pihak memeriksa isu itu untuk mendapat gambaran lebih jelas.

“Pertamanya, saya nak minta semua rakan media sebelum membuat laporan, periksa dulu.

“Orang kata itulah tanah untuk lapangan terbang, tetapi kalau itu tanah untuk lapangan terbang, apakah ia sudah diluluskan kerajaan persekutuan dan EPU (Unit Perancang Ekonomi)?

“Adakah kajian impak dan kajian alam sekitar telah dilakukan untuk kita pasti benar-benar di situ kita nak jadikan lapangan terbang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Isu penjualan tanah lapangan terbang itu timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah terbabit sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Besar, Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Mohd Fauzi Mohamad berkata, 10 individu termasuk bekas Exco negeri dipanggil membantu siasatan isu itu.

Selain bekas Exco kerajaan negeri, pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, kerajaan negeri serta Pejabat Tanah dan Galian juga akan dipanggil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.