Kes tipu jual beli kucing RM11,000 di Facebook, wanita dan tunang ditahan

Kes tipu jual beli kucing RM11,000 di Facebook, wanita dan tunang ditahan

Wanita berusia 26 tahun itu mengaku memberikan kad ATM miliknya kepada tunangnya yang juga orang tengah kepada sindiket penipuan.

Polis berkata, suspek lelaki yang ditahan Isnin lalu itu menggunakan akaun bank tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan, sebelum dipindahkan ke beberapa akaun luar negara.
KOTA KINABALU:
Seorang wanita tempatan bersama tunangnya yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan jual beli kucing menerusi Facebook membabitkan kerugian RM11,000 ditahan Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Moses Govindarajoo berkata, suspek wanita berusia 26 tahun itu ditahan di pejabat JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, manakala tunangnya ditahan di Jalan Tuaran Bypass.

Katanya, wanita itu mengaku memberikan kad ATM miliknya kepada tunangnya yang berusia 36 tahun.

“Tangkapan susulan terhadap lelaki terbabit dilakukan, selepas hasil risikan mendapati dia bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket penipuan.

“Suspek lelaki itu menggunakan akaun bank tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan, sebelum dipindahkan ke beberapa akaun luar negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu turut mengakui bekerjasama dengan sindiket luar negara untuk menjalankan aktiviti penipuan, dengan menjadi perantara pindahan wang hasil daripada penipuan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh disebat serta didenda, jika sabit kesalahan.

Moses mengingatkan orang awam tidak berkongsi kad ATM, maklumat perbankan dan maklumat peribadi kain yang membolehkan mereka terbabit dalam jenayah penipuan secara tidak langsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.