
Naib presiden DAP itu berkata, beliau menerima banyak aduan berhubung perkara itu dan nampaknya ia semakin meningkat kerana bank terlalu berhati-hati selepas skandal 1MDB.
Katanya, penangguhan dan keengganan bank itu akibat pemeriksaan latar belakang lanjut dan mungkin ditangguhkan lebih lama, jika jawatankuasa persatuan berdaftar itu mempunyai individu yang dikatakan “terdedah dengan politik”.
“Pegawai-pegawai bank yang saya temui tidak dapat memberi alasan munasabah kepada saya tentang sebab penangguhan pembukaan akaun bank mereka.
“Ada di antara pengurus bank berkata, mereka bimbang persatuan yang memohon akan gunakan akaun bank mereka untuk melakukan jenayah seperti ‘pengubahan wang haram’ dan diambil tindakan oleh Bank Negara, seperti dalam kes 1MDB,” katanya dalam kenyataan.
Kok berkata, bank tidak sepatutnya membuat penilaian awal terhadap pemohon akaun baharu dan mengambil alih peranan polis atau agensi anti-rasuah dengan melengahkan persatuan daripada membuka akaun.
“Ia akan menyebabkan banyak persatuan terpaksa menggunakan akaun bank persendirian untuk mengendalikan aktiviti kewangan mereka, termasuk pengutipan dan pembayaran wang bagi pihak persatuan.
“Keadaan ini telah mencetuskan banyak masalah bagi persatuan, dan ia juga akan mengakibatkan ketidaktelusan kewangan bagi persatuan.”
Oleh itu, beliau menggesa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz memandang serius masalah itu dan mengambil langkah wajar untuk mengatasinya.