Jangan ambil jalan mudah terhadap isu buruh paksa, Ramasamy beritahu Saravanan

Jangan ambil jalan mudah terhadap isu buruh paksa, Ramasamy beritahu Saravanan

Sebelum ini Menteri Sumber Manusia M Saravanan meminta ILO dan Kedutaan AS di Malaysia memaklumkan sebarang siasatan berhubung buruh paksa kepada kerajaan.

P Ramasamy berkata M Saravanan dilihat tidak mempunyai keupayaan pentadbiran untuk mengarahkan kementeriannya menyiasat secara sistematik isu buruh paksa.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia M Saravanan tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan meminta Amerika Syarikat (AS) atau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyiasat amalan buruh paksa di Malaysia, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.

Beliau berkata bukan tugas AS atau ILO untuk menyiasat atau campur tangan terhadap amalan buruh di sini tetapi ia adalah tanggungjawab kerajaan Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia.

“Berpaling kepada pertubuhan asing atau antarabangsa bukanlah langkah tepat dalam menghapuskan amalan buruh paksa.

“Saravanan perlu mencari sebab wujudnya buruh paksa sebelum menumpukan perhatiannya kepada penghapusan buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.

Awal minggu ini, Saravanan meminta ILO dan Kedutaan AS di Malaysia memaklumkan sebarang siasatan berhubung buruh paksa kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mencari jalan penyelesaian sebelum produk Malaysia disekat memasuki negara berkenaan.

Saravanan berkata, beberapa produk telah dikenakan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS atas alasan faktor buruh paksa, namun sehingga kini KSM tidak menerima sebarang siasatan daripada pihak AS.

Selain itu, Ramasamy berkata hakikat bahawa Saravanan meminta bantuan ILO dan Kedutaan AS menunjukkan beliau tidak mempunyai kebolehan dalam pentadbiran untuk mengarahkan kementeriannya menyiasat secara sistematik isu buruh paksa.

“Kementerian merasakan bahawa buruh paksa adalah perkara yang boleh dibanteras dengan langkah penguatkuasaan berkesan dan perubahan sikap majikan,” katanya.

“Inilah yang saya panggil pendekatan naif atau simplistik dalam menangani isu itu.”

Tambahnya, amalan buruh paksa wujud kerana cara dan sifat pengeluaran itu sendiri.

“Sekiranya terdapat kecenderungan menggunakan tenaga buruh yang murah untuk pengeluaran barangan tidak ditapis, maka ia menunjukkan minat minimum terhadap nilai buruh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.