Bawa Myanmar ke mahkamah, aktivis Rohingya beritahu Putrajaya

Bawa Myanmar ke mahkamah, aktivis Rohingya beritahu Putrajaya

Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, walaupun kerajaan telah menunjukkan solidariti terhadap komuniti Rohingya namun banyak lagi yang perlu dilakukan.

Pelarian Rohingya tiba di Malaysia. Agensi pelarian UN berkata lebih 150,000 orang dari Myanmar berdaftar dengan mereka. (Gambar APMM)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Rohingya menggesa Putrajaya memfailkan kes di mahkamah antarabangsa atas kekejaman yang dilakukan terhadap komuniti terbabit di negara itu.

Zafar Ahmad Abdul Ghani, yang mengetuai Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia berkata, walaupun kerajaan telah menunjukkan solidariti terhadap komuniti Rohingya namun banyak lagi yang perlu dilakukan.

Menurutnya, ini adalah masanya untuk Malaysia dan negara lain mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) dengan mengakui kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar terhadap kumpulan minoriti itu.

Katanya, kerajaan boleh memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mendakwa dan menghukum tentera Myanmar.

“Komuniti Rohingya adalah salah satu kumpulan minoriti paling teraniaya dan dieksploitasi di dunia hari ini,” katanya.

Ratusan ribu orang Muslim Rohingya meninggalkan negara majoriti penduduk beragama Buddha itu sejak 2017 susulan operasi tentera yang kini menjadi subjek kes genosid di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague.

Zafar berkata, dia berharap kerajaan akan melakukan lebih banyak lagi usaha untuk komuniti itu. “Kamu tidak boleh memberi bantuan kosong,” katanya sambil menambah pelarian perlu diberi akses pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Zafar turut mencadangkan Putrajaya mewujudkan laman sesawang untuk membolehkan rakyat Malaysia memahami dan mendapatkan lebih maklumat mengenai apa yang berlaku kepada Rohingya.

Agensi pelarian UN di Malaysia berkata lebih 150,000 etnik Rohingya, Chin dan kumpulan etnik lain di Myanmar berdaftar dengan agensi itu.

Agensi itu berkata, Rohingya mempunyai akses terhad terhadap perkhidmatan asas, termasuk hak untuk bekerja, mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.