Anak guam saya sakit tak dapat rawatan dalam lokap, kata peguam

Anak guam saya sakit tak dapat rawatan dalam lokap, kata peguam

Royston Tan berkata, anak guamnya yang disyaki terlibat dalam sindiket kad ATM sedang menjalani reman berantai.

Empat suspek dalam siasatan sindiket kad ATM mendakwa mereka dipindahkan keluar dari balai ke balai lain. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Empat lelaki yang disiasat berhubung sindiket kad ATM mendakwa mereka dinafikan untuk mendapatkan rawatan perubatan semasa dalam tahanan, kata peguam mereka hari ini.

Royston Tan berkata, anak guamnya memaklumkan kepadanya bahawa mereka semua mengalami demam apabila dipindahkan ke balai polis lain.

“Mereka mengadu kerana tidak mendapat akses kepada rawatan perubatan. Mereka mengesyaki telah menghidap demam denggi,” kata Tan kepada FMT. Katanya, polis hanya memberi mereka tablet parasetamol.

Tan berkata, anak guamnya sakit sepanjang masa kerana mereka menjalani “reman berantai”. Mereka pada mulanya disiasat selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Serdang Haryanti Che Mat, ketika diminta mengulas, berkata peguam itu perlu menghubungi pegawai penyiasat masing-masing.

Keempat-empat mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu dan dijangka didakwa atas tuduhan menipu pada 18 Mei.

“Bagaimanapun, mereka dibawa ke Balai Polis Shah Alam untuk siasatan baharu kes lain.” katanya.

Pada Khamis, Mahkamah Shah Alam menolak permohonan reman polis, tetapi anak guamnya dipindahkan ke Balai Polis Gombak dan bukannya dibebaskan.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad berkata ketua polis daerah bertanggungjawab memastikan tahanan mendapat akses kepada rawatan.

“Polis perlu mengikut prosedur operasi standard lokap dan tanggungjawab adalah di bawah ketua polis daerah tempat tahanan ditahan.”

FMT sedang mendapatkan respon daripada ketua polis Gombak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.