
Beliau berkata, daripada keterangan diambil daripada 420 tahanan dewasa yang sudah ditahan semula, rata-rata mendedahkan faktor kematian seorang tahanan itu sehari sebelum mereka melarikan diri, antara punca tercetusnya insiden terbabit.
Katanya, selain rasa tidak puas hati berhubung dakwaan “alasan perubatan”, antara faktor lain yang mungkin mencetuskan tindakan sedemikian selepas berada dalam tahanan bagi tempoh terlalu lama dan kesesakan.
Hassan berkata, dalang yang menghasut juga boleh menjadi kemungkinan tahanan itu bertindak mahu melarikan diri.
Bagaimanapun, punca sebenar menjurus kepada insiden rusuhan belum dapat dikenal pasti dan memerlukan siasatan lebih terperinci.
Katanya, polis sudah mengenal pasti empat dalang utama dengan dua daripadanya sudah berjaya ditahan dengan seorang daripadanya sudah dipindahkan ke depoh tahanan imigresen di Selangor.
“Mengikut daripada kenyataan (tahanan) lain mereka ini mengikut sahaja, tetapi suspek utama yang menghasut supaya yang lain ikut sama itu mungkin elemen ketidakselesaan…kita kena buat siasatan lanjut.
“Itu (berkaitan tahanan meninggal) secara kasarnya lah, ada yang bercakap begitu…tetapi kita tak nak cakap itu sebagai isu utama dan ada perkara lain. Tetapi, elemen ketidakpuasan hati itu ada dalam keterangan (diambil daripada tahanan),” katanya
Hassan berkata, kematian seorang tahanan terbabit berkemungkinan menjadi titik permulaan tercetus insiden merusuh itu.
“Kalau tidak ada kepala-kepala itu tadi (menghasut) yang lain-lain itu macam kanak-kanak dan kumpulan perempuan tak mungkin mereka ini akan bersama-sama untuk melarikan diri. Mungkin ada elemen paksaan dan ugutan. Tetapi, saya tak nak cakap secara ‘total’ siasatan sedang berjalan,” katanya.
Dalam pada itu, Hassan berkata, seramai 88 tahanan Rohingya masih bebas dengan kawasan pencarian meliputi selatan Seberang Perai, Pulau Pinang, dan Bandar Baharu, Kedah.
“Kita percaya mereka masih ada dalam kawasan sekitar, dan mereka mungkin agak kelaparan dan mungkin mereka akan keluar,” katanya.
Beliau turut memberi ingatan kepada penduduk sekitar agar tidak bertindak melindungi tahanan berkenaan.
Pada Rabu, sejumlah 528 tahanan Rohingya melarikan diri dengan enam daripada mereka maut akibat dilanggar kenderaan ketika melintas di Kilometer 165 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, dekat Nibong Tebal, dekat sini.
Kebanyakan mereka ditahan selama dua tahun selepas mendarat menggunakan bot di Langkawi. Kemudian, mereka dipindahkan ke depoh imigresen sementara di Bandar Baharu.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak dibenarkan masuk ke mana-mana pusat tahanan imigresen di Malaysia, sejak Ogos 2019.
“Malangnya, tindakan itu menghalang UNHCR berjumpa dengan tahanan untuk menentukan mereka memerlukan perlindungan antarabangsa dan menyokong pembebasan mereka,” katan agensi itu dalam kenyataan.