Guru besar nafi tuduhan sumbang makanan hampir luput

Guru besar nafi tuduhan sumbang makanan hampir luput

Dalam satu kenyataan, guru besar itu berkata semua barangan berkenaan masih dalam keadaan baik, namun hanya marjerin yang mempunyai tarikh luput pada 29 Apr ini.

Semalam FMT melaporkan, ibu bapa sebuah sekolah rendah di Bangi kecewa apabila sumbangan Aidilfitri terdiri daripada makanan kering yang diberikan kepada murid asnaf sekolah itu hampir tamat tarikh luput.
PETALING JAYA:
Guru besar sebuah sekolah rendah di Bangi tampil menafikan tuduhan yang mendakwa sumbangan Aidilfitri terdiri daripada makanan kering yang diberikan kepada murid asnaf sekolah itu hampir tamat tarikh luput.

Dalam satu kenyataan, guru besar itu berkata, semua barangan berkenaan masih dalam keadaan baik, namun hanya marjerin yang mempunyai tarikh luput pada 29 Apr ini.

“Pihak sekolah menjadi pengantara antara pihak penyumbang dan penerima sumbangan. Kami lihat barang yang hendak disumbangkan.

“Semua produk tersebut masih belum luput tarikh dan masih dalam keadaan baik. Cuma marjerin yang akan luput pada 29 April 2022 dan masih boleh dimakan dalam tempoh seminggu lagi,” jelasnya.

Semalam FMT melaporkan, ibu bapa sebuah sekolah rendah di Bangi kecewa apabila sumbangan Aidilfitri terdiri daripada makanan kering yang diberikan kepada murid asnaf sekolah itu hampir tamat tarikh luput.

Penjaga yang hanya mahu dikenali Fahmi berkata, dia terkejut apabila ibu bapa murid asnaf dari kelas anaknya berkongsi gambar makanan kering akan tamat tarikh luput pada 29 April ini.

Menurut gambar dikongsikan penjaga berkenaan kepada FMT, antara barangan diberikan kepada murid asnaf adalah susu kotak, mi segera, mentega dan biskut pelbagai perisa dari Indonesia.

Menjelaskan perkara itu, guru besar berkenaan berkata, makanan kering itu disumbangkan oleh usahawan dari Indonesia yang juga pemilik rangkaian IndoMart, iaitu pasar mini dan restoran berkonsepkan Malaysia Indonesia.

“Sudah pastilah pemilik sesuatu produk akan menyumbangkan produknya sendiri berbanding membeli produk lain untuk disumbangkan,” katanya.

Mengenai dakwaan penjaga bahawa sumbangan berkenaan hasil daripada kutipan derma Nur Kasih yang dilancarkan pada awal Ramadan, katanya, sumbangan terbabit masih belum diagihkan kepada 150 murid asnaf sekolah terbabit.

Menurutnya, setakat ini sumbangan sudah mencecah RM7,000 dan akan diagihkan secara tunai kepada murid yang layak.

Sementara itu, ketika dihubungi FMT, penjaga berkenaan memohon maaf kepada pihak sekolah kerana menyebarkan berita itu kepada pengetahuan media.

“Dengan rendah hati, saya mohon maaf kepada pihak sekolah kerana menyebarkan perkara ini. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan terus merujuk kepada pihak sekolah sekiranya terdapat keraguan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.