
Nazri menyokong pandangan mufti itu dengan berkata, hati nurani penting baginya dan ia akan menghalangnya daripada menjadi peguam yang berbohong.
Cheah berkata, sesiapa yang dituduh berhak mendapat pembelaan oleh peguam, selain menambah bahawa ia adalah hak asasi yang diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan.
Selasa lepas, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam melarang penganutnya daripada melindungi pesalah dan adalah berdosa menerima bayaran perkhidmatan daripada mereka.
Menerima wang daripada pesalah adalah lebih buruk daripada memperoleh pendapatan hasil pelacuran, tambahnya.
Bercakap kepada FMT, Nazri mengakui prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, namun katanya, peguam beragama Islam harus mengikut hati nurani mereka.
Katanya, beliau akan berasa “terperangkap di tengah-tengah” jika terpaksa membela seseorang yang diketahuinya bersalah.
“Ia akan memaksa saya untuk mereka-reka cerita, berbohong, mencipta keraguan dan mencari kelompongan,” katanya.
“Saya tak rasa saya boleh buat begitu. Bagi saya, hati nurani saya lebih penting. Jika seseorang itu bersalah dan saya membelanya, saya akan mengorbankan mangsa.
“Saya mahu jadi peguam, bukan pembohong.”
Nazri juga berkata, undang-undang tidak menghalang seseorang daripada mewakili diri sendiri di mahkamah dan ini menafikan keperluan untuk mendapatkan peguam jika seseorang itu melanggar undang-undang.
Cheah berkata, peguam tidak membuat kesimpulan awal mengenai sesuatu kes dan hanya akan menghujahkan fakta di hadapan hakim.
“Dengan menghakimi sesuatu kes lebih awal, ia akan bercanggah dengan (prinsip) tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.
“Tanpa peguam, tertuduh mungkin tidak tahu apa yang harus dilakukan di mahkamah dan mengemukakan pembelaan terbaik.”
“Menjadi kewajipan peguam untuk membangkitkan sebarang percanggahan pada tuduhan dalam ruang lingkup undang-undang yang boleh membawa kepada mempersoalkan kesahihan tuduhan itu sendiri. Namun hakim muktamad adalah mahkamah.”
Peguam Rafique Rashid Ali bersetuju dengan Cheah dengan berkata, andaian tidak bersalah adalah prinsip asas undang-undang jenayah.
Beliau berkata, tugas peguam, tanpa mengira fahaman agamanya, adalah “untuk memastikan keterangan dikemukakan dengan sempurna dan tidak berlaku salah laksana keadilan, serta memastikan pembelaan tertuduh, versinya, dikemukakan semasa perbicaraan”.
Katanya, pihak pendakwaan tidak boleh diberi kebebasan untuk mengemukakan keterangan tanpa dicabar oleh peguam bela.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut memberi reaksi terhadap kenyataan Asri dengan berkata, hanya hakim yang mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah, bukan peguam.