Terima wang untuk rawatan rambut, bekas KP perisikan didenda RM80,000

Terima wang untuk rawatan rambut, bekas KP perisikan didenda RM80,000

Tertuduh menerima RM26,000 daripada pengarah urusan syarikat FEHM Entity Sdn Bhd bagi membayar kos rawatan rambutnya bernilai RM35,440.

Mengikut pertuduhan Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan menerima suatu barang berharga tanpa balasan, iaitu wang tunai berjumlah RM26,000 daripada pengarah urusan syarikat FEHM Entity Sdn Bhd. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua pengarah perisikan pertahanan, Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima barang berharga, iaitu wang tunai RM26,000 berhubung kerja rasminya, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu kepada pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 61 tahun itu, selepas beliau menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM80,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Sheikh Mokhsin sebagai penjawat awam, iaitu ketua pengarah perisikan pertahanan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Kementerian Pertahanan, menerima suatu barang berharga tanpa balasan, iaitu wang tunai berjumlah RM26,000 daripada Elias Jemadi Tajuddin selaku pengarah urusan syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, yang mana tertuduh mengetahui bahawa Elias Jemadi mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di HairDoc Medical Publica A2-1-05, Solaris Dutamas, No 1 Jalan Dutamas 1, di sini pada 8 Mac 2020, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Peguam Mohd Shahrom Mohamad yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan berbentuk denda tanpa pemenjaraan dengan mengambil kira faktor kesihatan dan usia anak guamnya, selain sudah berkhidmat dalam ATM lebih empat dekad.

“Beliau tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan pencen bulanannya bagi menyara keluarga. Sebagai manusia biasa, beliau telah mengaku kesilapannya dan amat menyesali perbuatan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rasyidah Murni Adzmi dan Muhammad Asraf Mohamad Tahir meminta hukuman dalam bentuk pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah kepada masyarakat secara am.

“Tindakan beliau itu adalah satu pengkhianatan kepada negara. Kegiatan ini sekiranya dibiarkan akan menjadi barah dalam masyarakat dan ia harus dibendung sekeras-kerasnya,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghubungi Elias Jemadi dan meminta beliau mendapatkan wang berjumlah RM26,000 bagi membayar kos rawatan rambutnya bernilai RM35,440.

Tertuduh telah membayar bayaran awal kos rawatan sebanyak RM10,000, dan membayar baki rawatan itu setelah menerima wang tersebut daripada Elias Jemadi.

Elias Jemadi merupakan pengarah urusan syarikat FEHM Entity Sdn Bhd yang dilantik sebagai kontraktor bagi Kontrak Senggaraan dan Khidmat Sokongan Sistem PRISMA dengan nilai kontrak bernilai lebih RM56 juta, yang mana bahagian tersebut dipantau oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, iaitu bahagian yang diselia tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.