Tahanan lari dari depot: Ahli Parlimen PKR gesa tambah baik dasar mengenai pelarian

Tahanan lari dari depot: Ahli Parlimen PKR gesa tambah baik dasar mengenai pelarian

Wong Chen berkata, kejadian membabitkan tahanan Rohingya semalam patut menimbulkan kesedaran agar kerajaan bersikap lebih telus dan berusaha dengan lebih lagi untuk membantu pelarian.

Polis berjaya menangkap semula 357 daripada 528 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari depot imigresen sementara di Bandar Baharu, Kedah, semalam. (Gambar Polis/Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen PKR menggesa Putrajaya agar melaksanakan dasar yang lebih baik berhubung pelarian dan pencari suaka susulan kejadian 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari depot sementara di Kedah semalam.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, pihak berkuasa mesti memastikan tahanan yang ditangkap semula tidak dihukum kerana melarikan diri dan menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diberi akses kepada pelarian dan memeriksa depot.

Beliau juga menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan memanggil Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bagi menjawab beberapa isu asas mengenai dasar pelarian di negara ini.

Tonton video di sini.

“(Kejadian) ini harus dilihat bukan sebagai satu tragedi kemanusiaan tetapi untuk menimbulkan kesedaran mengenai dasar supaya kerajaan bersikap lebih telus dan berusaha dengan lebih lagi untuk membantu pelarian yang mencari perlindungan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

“Menteri perlu menjawab mengapa kerajaan menghalang UNHCR daripada mendapat akses penuh kepada pelarian di Malaysia.

“Menteri perlu mendedahkan berapa banyak yang kita belanjakan untuk mengurus pelarian dan bertanggungjawab secara fiskal ke atas semua perbelanjaan.

“Beliau juga perlu merombak, membangun dan melaksanakan dasar dan peruntukan pentadbiran yang lebih baik untuk memproses permohonan suaka.”

Wong Chen mengingatkan Hamzah bahawa ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) kini menjadi aspek penting yang boleh menjejaskan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, dengan menggesa menteri itu mengambil pendekatan bersifat kemanusiaan.

Beliau menggesa Putrajaya bersikap telus mengenai insiden yang berlaku di depot Sungai Bakap dan keadaan di pusat tahanan imigresen lain.

“(Kejadian) ini nampaknya bukan seperti insiden yang dirancang dengan bantuan pihak luar kerana pelarian-pelarian ini, termasuk kanak-kanak, dilaporkan hanya berjalan berkaki ayam tanpa makanan atau minuman mahupun destinasi yang jelas.

“Bagi saya, nampaknya apa yang mereka mahu lakukan adalah lari sejauh mungkin dari pusat tahanan. Jelasnya, ini adalah tindakan yang sangat terdesak,” katanya.

Awal pagi semalam, 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari depot imigresen sementara di Bandar Baharu, Kedah. Pada masa itu, pusat tersebut menempatkan 664 tahanan.

Polis berjaya menangkap semula 357 orang, manakala enam terkorban ketika menyeberangi lebuh raya berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.