Segera salur peruntukan tambah baik fasiliti depot tahanan imigresen, KDN diberitahu

Segera salur peruntukan tambah baik fasiliti depot tahanan imigresen, KDN diberitahu

Ia susulan terdapat depot tahanan yang dalam keadaan uzur dan tidak mampu menampung jumlah tahanan yang terlalu ramai.

Seramai 528 tahanan Rohingya dilaporkan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah kira-kira 4.30 pagi semalam. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) memohon agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyalurkan peruntukan bagi menambah baik fasiliti di depot tahanan imigresen di seluruh negara.

Presiden KPISM Khairil Niza Khairuddin berkata, ini kerana terdapat depot tahanan berada dalam keadaan uzur dan tidak mampu menampung jumlah tahanan yang terlalu ramai.

“KPISM juga menggesa kerajaan agar mencapai kata putus dan mengambil langkah proaktif khas dalam pengurusan tahanan etnik Rohingya yang tidak dapat diusir keluar berikutan Myanmar tidak mengiktiraf dan tidak mahu menerima mereka.

“Perkara itu menyebabkan berlaku kesesakan tahanan etnik Rohingya di depot tahanan di seluruh negara dan ini menimbulkan masalah apabila mereka tidak dapat dibebaskan atau diusir,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, keadaan itu meningkatkan pelbagai risiko seperti penularan penyakit dalam depot tahanan, berlakunya rusuhan, peningkatan kos makan dan minum tahanan serta lain-lain.

“KPISM juga memohon Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyediakan lebih banyak perjawatan untuk menempatkan lebih ramai kakitangan di depot tahanan agar kawalan keselamatan yang lebih optimum dapat diwujudkan,” katanya.

Khairil Niza berkata, KPISM juga menyokong sebarang usaha yang dilaksanakan JIM dalam meningkatkan kualiti depot tahanan dan bersedia bekerjasama dan memberikan input dalam mencari solusi terbaik berhubung perkara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.