Rohingya tak sepatutnya ditahan dari awal, kata kumpulan hak asasi

Rohingya tak sepatutnya ditahan dari awal, kata kumpulan hak asasi

Ketua penyelaras LFL Zaid Malek menggesa semua pelarian dan pencari suaka lain dibebaskan daripada tahanan bagi mengelak malapetaka berulang.

Lawyers for Liberty menggesa agar warga Rohingya yang meninggalkan negara mereka diberi layanan lebih berperikemanusiaan.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyalahkan kerajaan atas kematian tahanan Rohingya yang melarikan diri semalam dan mempersoalkan mengapa mereka ditahan dari awal.

Susulan kejadian tahanan Rohingya melarikan diri dari depoh sementara imigresen di Kedah, Ketua Penyelaras LFL, Zaid Malek turut menggesa supaya semua pelarian dan pencari suaka lain dibebaskan dari pusat tersebut bagi mengelak malapetaka berulang.

“Darah Rohingya yang terkorban ketika melarikan diri, termasuk sekurang-kurangnya dua kanak-kanak, terpalit di tangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Tonton video di sini.

Enam daripada 528 tahanan Rohingya terbabit maut dalam kemalangan jalan raya ketika melarikan diri.

Zaid berkata, tiada sebab untuk memadatkan pelarian di pusat tahanan sementara kerana mereka tidak boleh dihantar pulang atas prinsip “non-refoulment”.

“Prinsip ini, yang melarang individu dipulangkan ke negara di mana mereka akan menghadapi seksaan, layanan dan hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah, menyebabkan Rohingya tidak mungkin dihantar pulang ke negara mereka…melainkan kerajaan mahu melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, bawah Akta Imigresen 1959/63, tahanan hanya boleh ditahan sepanjang tempoh “yang perlu untuk membuat pengaturan bagi pemindahan mereka”.

“Undang-undang tidak membenarkan penahanan tanpa had di depoh imigresen seperti yang berlaku kepada Rohingya,” katanya.

“Setelah dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia sepatutnya mematuhi norma dan piawaian antarabangsa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.