Rafizi akan derma RM70,000 dimenangi dalam kes NFCorp kepada kebajikan

Rafizi akan derma RM70,000 dimenangi dalam kes NFCorp kepada kebajikan

Jumlah itu dianugerahkan Mahkamah Persekutuan selepas menolak saman fitnah ke atas naib presiden PKR itu.

Rafizi Ramli mendedahkan skandal NFC pada 2011 yang menyebabkan beliau berdepan tiga kes saman.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli akan menyumbang RM70,000 yang dianugerahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes fitnah National Feedlot Corporation (NFCorp) kepadanya dalam bentuk biasiswa dan bantuan kecil.

“Siri kes NFC bermula pada 2011 dan berlarutan hingga 2022. Ada tiga kes terhadap saya. Saya menang semuanya.

“Wang saman akan dipulangkan kepada orang ramai dalam bentuk biasiswa dan bantuan kecil,” katanya di Twitter.

Tonton video di sini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan NFCorp dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail, terhadap penolakan saman fitnah mereka ke atas Rafizi berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed yang mengetuai panel tiga hakim berkata, Rafizi berjaya membangkitkan pembelaan komen berpatutan untuk mengalahkan saman itu.

Katanya, Rafizi juga menyatakan pendapat jujur tentang NFC dan Salleh berdasarkan dokumen bank yang tidak dipertikaikan dan oleh itu beliau dianugerahkan kos RM70,000.

Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada 2013 yang mendakwa Salleh dan NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM150,000.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan rayuan Rafizi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Ia mengarahkan RM150,000 yang dibayar kepada Salleh dikembalikan dan menganugerahkan kos RM110,000 kepada Rafizi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.