Polis tarik balik pekeliling tak denda pesalah tak pakai pelitup muka

Polis tarik balik pekeliling tak denda pesalah tak pakai pelitup muka

Satu dokumen bocor menyatakan polis hanya akan menasihatkan individu tidak memakai pelitup muka berbanding mendenda mereka.

Polis berkata, mereka akan terus mengeluarkan denda kepada individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
PETALING JAYA:
Polis menarik balik pekeliling bertarikh 20 April lalu yang menyatakan individu tidak memakai pelitup muka di tempat awam tidak akan dikenakan denda lagi.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Zaini Jass berkata, terdapat “kesilapan teknikal” berhubung pekeliling berkenaan, oleh itu ia ditarik balik.

“Kami menarik balik pekeliling itu apabila menyedari kesilapan itu.

“Polis akan terus mengeluarkan denda kepada individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya kepada FMT.

Pekeliling yang kini ditarik balik itu menyatakan polis tidak akan mengeluarkan saman, sebaliknya hanya menasihati orang ramai memakai pelitup muka, jika mereka didapati tidak berbuat demikian.

Menurutnya, ini selaras SOP terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya.

Katanya, pasukan pematuhan Op Covid-19 perlu membuat pemantauan bagi memastikan penjarakan fizikal di bazar Ramadan dan dron akan digunakan untuk memastikan SOP dipatuhi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.