Malaysia terima 14,306 kuota haji tahun ini, 45% daripada biasa

Malaysia terima 14,306 kuota haji tahun ini, 45% daripada biasa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, semua negara lain turut diberikan kuota sama 45%.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan hanya sejuta jemaah haji untuk musim 2022 berbanding 2.5 juta orang pada 2019. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Malaysia diberikan 14,306 kuota haji bagi tahun ini, iaitu 45% daripada kuota tahunan biasa kerana kerajaan Arab Saudi menetapkan hanya sejuta jemaah haji untuk musim ini berbanding 2.5 juta orang pada 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, semua negara lain turut diberikan kuota sama 45%.

Katanya, kuota 14,306 jemaah yang diterima Malaysia tahun ini berkurangan daripada 31,600 jemaah yang dibenarkan pada 2019.

Tonton video di sini.

Beliau berkata, Arab Saudi turut menetapkan beberapa syarat, iaitu hanya jemaah haji berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

Selain itu, mereka perlu mengemukakan keputusan negatif ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

“Ini (kuota jemaah haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia,” katanya dalam pengumuman secara langsung menerusi Facebook.

Idris berkata, keputusan Riyadh membenarkan 85% daripada sejuta jemaah luar menunaikan haji tahun ini lebih tinggi daripada 2019, dengan hanya 75% jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan.

Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dan bakal jemaah terpilih diminta menjalani pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

“Bakal jemaah juga dinasihatkan bersedia dengan dokumen berkaitan, terutamanya pasport.

“Saya memohon jasa baik semua bakal jemaah haji untuk membuat persediaan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua jemaah haji Malaysia mengambil suntikan wajib Meningococcal dan vaksin Covid-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan.

Katanya, TH giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji negara ke Tanah Suci, selepas dua tahun tertangguh akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kos haji akan diumumkan esok dan bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah tahun ini akan diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.