Loke sanjung sikap profesional Ali Hamsa ketika peralihan kuasa

Loke sanjung sikap profesional Ali Hamsa ketika peralihan kuasa

Setiausaha agung DAP berkata arahan pertama Ali laksanakan pada malam 9 Mei 2018 ialah mengumumkan cuti umum peristiwa untuk seluruh negara pada 10 hingga 11 Mei selaras dengan keputusan PH.

Ali Hamsa merupakan ketua setiausaha negara pertama yang menerajui perkhidmatan awam dalam proses peralihan kuasa daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan selepas PRU14. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook memberi penghormatan kepada Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha negara yang meninggal dunia hari ini pada usia 66 tahun.

Menerusi catatan di Twitter, Loke berkata, Ali merupakan ketua setiausaha negara pertama yang menerajui perkhidmatan awam dalam proses peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14.

Setiausaha agung DAP itu menyifatkan Ali seorang penjawat awam sangat professional dan berpengalaman.

“Arahan pertama beliau laksanakan pada malam 9 Mei 2018 ialah mengumumkan cuti umum peristiwa untuk seluruh negara pada 10 hingga 11 Mei 2018 selaras dengan keputusan PH.

“Ia amat penting untuk menstabilkan keadaan sebelum kerajaan baharu dibentuk dan memastikan proses peralihan kuasa yang aman,” katanya.

“Sumbangan beliau dan tindakan profesional dalam proses peralihan kuasa tersebut akan dikenang dan direkod sebagai sebahagian daripada sejarah penting proses demokrasi negara kita.”

Sementara itu, pembantu bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Adam Mukhriz Mohd Muhayeedin, turut memberikan penghormatan kepada Ali kerana membantu memastikan perubahan pentadbiran yang lancar dan aman pada 2018.

“Beliau banyak membantu dalam memudahkan peralihan daripada kerajaan BN kepada kerajaan PH pada 2018. Al-Fatihah,” katanya di Twitter.

Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali mengesahkan kematian Ali hari ini. Ali berkhidmat sebagai ketua setiausaha dari Jun 2012 hingga Ogos 2018.

Ali kemudian digantikan oleh Ismail Bakar, yang berkhidmat lebih setahun sebelum Zuki mengambil alih pada Januari 2020.

Digelar sebagai tokoh utama dalam perkhidmatan awam oleh Zuki, Ali mula menyertai perkhidmatan pentadbiran dan diplomatik pada 1981 dan seterusnya berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.