Lelaki dituduh bunuh, tidur seminggu dengan mayat rakan diarah bela diri

Lelaki dituduh bunuh, tidur seminggu dengan mayat rakan diarah bela diri

Mahkamah menetapkan 9 Jun bagi tertuduh membela diri dalam perbicaraan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan dan tertuduh memilih memberikan keterangan secara bersumpah.

Tertuduh Mohd Azhud Ibrahim didakwa memukul Ahmad Azam Ahmad menggunakan sebatang buluh dan sebatang tebu serta memijak hingga mati sebelum tidur bersama mayat itu seminggu. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini memerintahkan seorang lelaki membela diri atas tuduhan melakukan pembunuhan dan tidur bersama mayat rakan selama seminggu, empat tahun lalu.

Hakim Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Azhud Ibrahim, 32, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seterusnya memerintahkan tertuduh membela diri.

Mahkamah menetapkan 9 Jun bagi tertuduh membela diri dalam perbicaraan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan dan tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

“Berdasarkan kepada pemerhatian, iaitu dengan memberi pertimbangan kepada keterangan daripada pihak pendakwaan, pembelaan dan juga tertuduh, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap OKT (orang kena tuduh) seperti mana kertas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, OKT dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan tersebut,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh terhadap Ahmad Azam Ahmad dengan cara memukul menggunakan sebatang buluh dan sebatang tebu serta memijak sehingga mengakibatkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 2A Lorong Mohd Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak, kira-kira 12.10 malam hingga 8 pagi pada 10 Ogos 2018.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Gurbachan Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fitri Sadarudin mewakili pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.