Ihsan kepada mereka yang mencari perlindungan, kerajaan diberitahu

Ihsan kepada mereka yang mencari perlindungan, kerajaan diberitahu

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata penahanan berterusan dan lama, tanpa kesudahan terhadap nasib dan masa depan pelarian adalah pelanggaran hak asasi manusia.

Khaled Nordin berkata Malaysia perlu menunjukkan ihsan terhadap pelarian yang mencari perlindungan.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Khaled Nordin menyeru kerajaan menunjukkan ihsan dan kemanusiaan kepada mereka yang mencari perlindungan di Malaysia tanpa berkompromi dengan keselamatan negara.

“Ramadan ini harus menjelmakan ihsan dan kemanusiaan kita kepada mereka yang mencari perlindungan di negara ini tanpa berkompromi dengan kepentingan keselamatan nasional,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian susulan ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementera imigresen di Kedah, semalam.

Khaled berkata, insiden melarikan diri, protes dan rusuhan di pusat tersebut bukan perkara baharu.

“Ia terus berulang dan mungkin berpunca daripada masalah kesesakan di dalam blok tahanan, tempoh tahanan yang lama dan terhadnya kemampuan sumber kerajaan dalam pengurusan pusat sedemikian,” katanya.

Beliau menegaskan, penahanan berterusan dan lama, tanpa kesudahan terhadap nasib dan masa depan mereka adalah pelanggaran hak asasi manusia.

“Ia juga adalah pembaziran kepada wang rakyat apabila semua ini melibatkan pembiayaan kerajaan sepenuhnya.

“Mereka yang telah berdaftar dan mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), mestilah segera dibebaskan,” katanya sambil menjelaskan kerajaan tidak perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai MoU yang merumitkan, kerana kumpulan pelarian ini boleh dibenarkan bekerja.

Kerjasama erat dengan UNHCR mesti dipertingkatkan agar mereka boleh segera dipindahkan ke negara penerima dan memulakan kehidupan baru di negara tersebut.

“Malaysia mesti menunjukkan iltizam untuk mengurus dasar berkaitan pelarian dengan lebih telus, bertanggungjawab dan bersandar keselamatan insan,” katanya.

Awal pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari depot sementara imigresen di Bandar Baharu, Kedah. Terdapat 664 banduan ditempatkan pusat berkenaan ketika itu.

Seramai 357 banduan telah ditangkap polis, enam terbunuh ketika menyeberangi lebuh raya.

Insiden itu juga mendapat maklum balas daripada NGO dan ahli Parlimen seperti Wong Chen, yang menggesa Putrajaya melaksanakan dasar lebih baik terhadap pelarian dan pencari suaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.