Bekas KSN Ali Hamsa meninggal dunia

Bekas KSN Ali Hamsa meninggal dunia

Ali Hamsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland.

Ali Hamsa pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha negara selama enam tahun dari 2012. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa meninggal dunia pada usia 66 tahun di sebuah hospital di Dublin, Ireland pada Khamis.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini.

Menyifatkan Ali sebagai tokoh besar dalam perkhidmatan awam negara, Mohd Zuki berkata, sepanjang kariernya Ali telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan sejak memulakan khidmatnya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1981.

Ini katanya, termasuk di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta di Jabatan Perdana Menteri.

“Sesungguhnya, pemergian beliau pada bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.

“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Ali yang merupakan anak jati Johor dan meninggalkan isteri, iaitu Rohani Abdullah dan empat orang anak.

Ali yang berkhidmat sebagai KSN selama enam tahun dari 2012 juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia, ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN CEPA) dan pengerusi Institut Integriti Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.