Sertai GPS cara terbaik untuk bekas ahli Parlimen PKR kekalkan kerusi, kata penganalisis

Sertai GPS cara terbaik untuk bekas ahli Parlimen PKR kekalkan kerusi, kata penganalisis

Gabungan PN diterajui Bersatu tidak cukup kuat di Sarawak untuk Willie Mongin dan Ali Biju menentang GPS, kata Oh Ei Sun.

Willie Mongin (kiri) dan Ali Biju memenangi kerusi Parlimen mereka atas tiket PH pada 2018.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis berpendapat, timbalan menteri Willie Mongin dan Ali Biju boleh meningkatkan peluang untuk mengekalkan kerusi Parlimen mereka pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) jika menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberitahu FMT, beliau tidak percaya GPS akan memberi laluan kepada dua bekas ahli PKR itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan walaupun mereka kini menganggotai Bersatu, yang menjadi sekutu GPS di peringkat persekutuan.

Mongin ialah ahli Parlimen Puncak Borneo, manakala Ali mewakili Saratok.

Oh berkata, masa depan politik kedua-duanya turut bergantung kepada sama ada Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) mahu menentang GPS.

“Ia bergantung kepada sama ada Bersatu atau PN ingin bertanding di Sarawak,” katanya.

“Jika Bersatu bertegas untuk berbuat demikian, maka kedua-duanya berkemungkinan akan dicalonkan semula kerana mereka mempunyai peluang terbaik – walaupun sangat tipis – untuk mengekalkan kerusi mereka.”

Beliau berkata, gabungan PN yang diterajui Bersatu tidak cukup kuat di Sarawak untuk Mongin dan Ali menentang GPS dan parti pembangkang.

“Tidak sama sekali,” katanya.

Mongin dan Ali memenangi kerusi Parlimen mereka atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada 2018. Kedua-duanya menyertai Bersatu berikutan penggulingan kerajaan PH.

Mongin baru-baru ini berkata, beliau bersedia untuk mempertahankan kerusinya untuk GPS, tetapi tonggak pakatan itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), memberitahu bahawa kerusi itu miliknya.

Ali, bekas naib presiden PKR, pada mulanya bertanding di kerusi DUN Krian dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada Disember sebagai calon bebas, bertembung dengan GPS.

Bagaimanapun, beliau menarik diri selepas diarah berbuat demikian oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, tetapi tidak sebelum memberitahu GPS beliau berharap pengorbanannya akan mendapat ganjaran setimpal apabila membabitkan kerusi Parlimennya.

Dick Lembang Dugun daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata, GPS mungkin menjemput kedua-dua ahli Parlimen itu menyertainya, tetapi menambah penyokong akar umbi gabungan itu mungkin tidak menerima mereka.

Beliau menjangkakan Mongin akan bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Puncak Borneo pada PRU15 jika tidak diletakkan sebagai calon parti.

“Jika GPS memberi laluan kepada Ali untuk bertanding di Saratok pada PRU15, Ali akan selamat. Tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Saya rasa akan tercetus sedikit drama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.