
Sumber berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 10 pagi membabitkan paip tingkat bawah di bangunan utama hospital berkenaan.
Katanya, semua pembedahan elektif yang sepatutnya dijalankan hari ini turut ditangguhkan.
Satu video menunjukkan beberapa petugas hospital sedang membersihkan air yang melimpah dari siling turut tular di media sosial, hari ini.
Semalam, HQE1 mengalami gangguan elektrik sehingga mengakibatkan sejumlah pesakit terpaksa dipindahkan ke HQE2 di Damai, dekat sini.
Gangguan elektrik itu membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok perubatan lama HQE1 pada 11.54 pagi Isnin.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, proses pembaikan paip bocor di HQE2 dijangka siap 8 malam ini.
Katanya, kebocoran membabitkan saluran ke tangki utama itu menyebabkan limpahan air di stor unit sajian dan ruangan linen Sedafiat.
“Langkah segera yang diambil HQE2 dan pihak konsesi adalah memasang paip pintasan dan kejadian paip bocor ini dalam keadaan terkawal.
“Limpahan air di aras bawah tanah HQE2 sudah dibersihkan, manakala proses pembaikan dijangka siap 8 malam ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, semua pembedahan bukan kecemasan (elektif) hari ini telah ditangguhkan.
Beliau berkata, hanya pembedahan kecemasan dijalankan sehingga pembaikan paip siap, manakala perkhidmatan rawatan kesihatan lain di HQE2 beroperasi seperti biasa.