
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi pertama Sabtu lalu sekitar 2 petang, polis berjaya menahan empat lelaki di Kepala Batas, Pulau Pinang dan merampas dadah jenis syabu seberat 212kg.
“Dalam operasi kedua pada 4.20 pagi Isnin pula, lima lagi lelaki ditahan di sekitar kawasan Kulim dan polis merampas dadah jenis ganja seberat 46kg. Keseluruhan dadah syabu dan ganja yang dirampas itu bernilai RM7.74 juta.
“Semua suspek yang berumur 31 hingga 52 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu serta ganja bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua sindiket yang beroperasi secara berasingan itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan 2021.
“Sindiket ini berasingan, tetapi modus operandi yang digunakan adalah sama, iaitu menyeludup masuk bekalan dadah dari Kelantan ke Kedah, sebelum dadah itu diedar ke pasaran tempatan terutamanya di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
“Sekiranya dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh lebih 1.1 juta penagih dadah. Selain itu polis turut menyita tujuh kenderaan dan wang tunai yang jumlah keseluruhannya bernilai lebih RM420,000,” katanya.
Ayob berkata, saringan awal mendapati tujuh daripada suspek itu positif dadah jenis methamphetamine dan empat mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.
“Semua suspek ditahan reman selama lima hingga tujuh hari bermula 17 dan 18 April bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di kawasan sekeliling. Sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012 2087222,” katanya.