
Program biasiswa FMT-ATC itu disediakan kepada pelajar yang mengikuti kursus asas dan pengajian Sarjana Muda Undang-undang dengan dermasiswa antara RM1,000 dan RM10,000 bagi sesi pengambilan 2022.
Selain menawarkan penajaan biasiswa kepada pelajar daripada latar belakang akademik yang berbeza, termasuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Matrikulasi Australia Selatan (SAM), program ini juga menawarkan 50% rebat ke atas yuran pengajian di ATC bagi pelajar yang mewakili negeri dalam mana-mana sukan dan sebanyak 100% rebat kepada mereka yang pernah mewakili negara dalam bidang sukan.
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said merasmikan majlis pelancaran biasiswa itu semalam dan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu turut menggesa ATC agar menumpukan perhatian kepada pembangunan kemahiran insaniah pelajar dalam ucapan perasmiannya.
Selaku peguam yang pernah menjalani kursus dan latihan tertentu, Azalina berkata, pemilihan pelajar yang berpotensi semata-mata berdasarkan keputusan akademik akan merugikan mereka yang mungkin memiliki pelbagai kemahiran insaniah.
“Saya rasa kita tidak boleh hanya menjadikan mata pelajaran teras sebagai syarat kemasukan atau mengabaikan pemilihan personaliti semasa menawarkan pakej mata pelajaran kepada pelajar,” kata Azalina selaku penasihat khas perdana menteri bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.
“Saya berpendapat Malaysia akan berkembang sekiranya kita mengambil sudut generasi muda, bukan sahaja mereka yang bercita-cita tinggi tetapi juga mereka yang sentiasa menekankan pemikiran kreatif mahupun memberikan pandangan kritis,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ATC Kevin Leong berharap perkongsian dengan FMT akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai penawaran biasiswa kepada pelajar jurusan undang-undang yang berminat dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar, selain menambah bahawa beliau yakin bahawa skim itu akan terus mengubah kehidupan anak muda Malaysia.
“Ia sentiasa menjadi kebanggaan kami apabila melihat kejayaan pelajar lulusan ATC yang berada di bawah penajaan skim biasiswa berkenaan,” katanya.
“Mereka akan dapat mengubah status ekonomi keluarga mereka dan kemudiannya memberi sumbangan kepada komuniti.”
Leong juga berharap biasiswa sukan yang ditawarkan ATC dapat menggalakkan golongan belia menyertai sukan semasa belajar di sekolah menengah.
“Katakanlah anda tidak layak mendapat biasiswa mengikut kelayakan akademik , anda masih boleh menerima biasiswa sukan sekiranya telah mewakili negeri atau negara dalam bidang sukan.” jelasnya.
Menyedari peranan penting yang dimainkan oleh peguam dari segi tuntutan keadilan dan demokrasi, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif FMT, Azeem Abu Bakar berkata, beliau amat gembira dapat memberi sumbangan kepada 200 bakal peguam dalam mendapatkan akses kepada pendidikan.

“Pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang dan hari ini kami sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan ATC dalam program biasiswa ini bagi pelajar yang ingin mengambil jurusan undang-undang,” katanya.
“Saya juga merupakan penerima program biasiswa dan disebabkan itu, saya dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan dan kewangan. Ini telah mengubah kehidupan dan masa depan saya dan saya sentiasa bersyukur berhubung kesemua perkara itu.”
“Hari ini, kami mampu melakukan sumbangan yang sama kepada 200 pelajar.”
Butiran biasiswa
Kerjasama antara FMT dan ATC menawarkan penajaan biasiswa sebanyak RM10,000 kepada pelajar lepasan SPM dan O-Level yang mendapat 9A dan ke atas bagi program pengajian asasi undang-undang ATC dalam tempoh setahun yang berharga RM16,000.
Manakala mereka yang mempunyai 8A juga layak mendapat RM5,000, diikuti RM3,000 untuk 7A, RM2,000 untuk 6A dan RM1,000 untuk 5A.
ATC juga menawarkan biasiswa kepada pelajar yang mendaftar dalam program Sarjana Muda Undang-Undang Universiti London (UoL) dan program pemindahan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang UK (UKT) bagi menampung yuran pengajian tahun pertama.
Yuran pengajian tahun pertama bagi program Sarjana Muda Undang-Undang (UoL) dan UKT masing-masing ialah RM12,000 dan RM20,000.

Biasiswa tersebut tidak merangkumi yuran pendaftaran, yang masing-masing berjumlah RM1,000 dan RM2,000 bagi program berkenaan.
Pelajar lepasan A-Level yang mendapat 3A dan ingin berdaftar dalam salah satu daripada program ini layak mendapat RM8,000 tajaan biasiswa, manakala mereka yang mendapat 2A boleh mendapat RM5,000 tajaan biasiswa.
Pelajar STPM yang ingin mendaftar untuk mana-mana program ini layak mendapat tajaan biasiswa RM8,000 sekiranya mempunyai PNGK 3.5 dan ke atas. Mereka yang mempunyai PNGK 3.3 dan ke atas boleh menerima tajaan biasiswa RM5,000 manakala bagi mereka yang mempunyai PNGK 3.0 dan ke atas boleh menerima tajaan biasiswa sebanyak RM3,000.
Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ingin mendaftar dalam salah satu program ini layak mendapat RM8,000 tajaan biasiswa bagi mereka yang mendapat 7A manakala mereka yang mendapat 6A boleh menerima RM5,000 dan RM3,000 untuk mereka yang mempunyai 5A.
Pelajar lepasan program asasi, matrikulasi atau diploma dengan PNGK 3.8 dan ke atas boleh menerima RM8,000 di bawah program berkenaan.
Pelajar Matrikulasi Australia (AUSMAT) atau South Australian Matriculation (SAM) yang berminat dalam program tersebut boleh menerima tajaan biasiswa RM8,000 sekiranya memperoleh sekurang-kurangnya 90%, manakala pelajar International Baccalaureate (IB) pula boleh menerima RM8,000 sekiranya mendapat markah 35 dan ke atas.
Bagi semua kategori ini, pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan dan pernah mewakili negeri mereka akan layak mendapat 50% tajaan biasiswa bagi menampung yuran pengajian, manakala mereka yang pernah mewakili negara layak mendapat 100% tajaan biasiswa bagi menampung yuran pengajian.
Tempoh induksi bagi lepasan SPM yang berminat mengikuti program asasi undang-undang di ATC berlangsung dari 20 sehingga 22 April, manakala tempoh induksi bagi program ijazah dalam undang-undang akan berlangsung dari 25 sehingga 28 April. Sila layari https://www.atc2u.edu.my/scholarship untuk maklumat lanjut berkenaan biasiswa dan butiran pengambilan pelajar.