Menteri arah siasatan ‘terperinci’ kes tahanan Rohingya lari

Menteri arah siasatan ‘terperinci’ kes tahanan Rohingya lari

Hamzah Zainudin berkata, polis dan pihak berkuasa imigresen perlu mencari punca tahanan Rohingya melarikan diri dari depot imigresen di Kedah.

Setakat ini, 382 tahanan Rohingya sudah ditemui dan ditahan semula.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin mengarahkan polis dan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan terperinci berhubung punca ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari sebuah depot imigresen di Kedah.

Katanya, semua 528 tahanan yang melarikan diri itu ialah etnik Rohingya yang dipindahkan dari kem Wawasan Langkawi, selepas ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia pada 2020.

Beliau berkata, 382 tahanan sudah ditemui dan ditahan semula setakat ini.

“Saya menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian dan keberadaan pelarian dalam negara hanya atas dasar kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah kira-kira 4.30 pagi tadi. Terdapat 664 tahanan di depot terbabit ketika itu.

Setakat 10 pagi tadi, 357 daripadanya ditemui dan ditahan semula, termasuk enam yang maut ketika melintas lebuh raya berhampiran.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata, pihaknya akan menghantar satu pasukan ke depot imigresen terbabit untuk menyiasat kejadian itu.

Beliau berkata, tiada gunanya imigresen menahan etnik Rohingya selama-lamanya kerana mereka tidak mempunyai kerakyatan.

Beliau menggesa Jabatan Imigresen membenarkan wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menemui tahanan.

“Jabatan Imigresen perlu memberi akses kepada UNHCR untuk melihat sama ada mereka benar-benar etnik Rohingya.

“Jika ya, bebaskan mereka dengan kad UNHCR seperti 150,000 etnik Rohingya yang sudah berada di sini,” katanya kepada FMT.

UNHCR mengesahkan kepada FMT, ia belum menerima kelulusan Jabatan Imigresen untuk memasuki depot tahanan imigresen sejak Ogos 2019.

Aktivis Rohingya, Zafar Ahmad Abdul Ghani sedih dengan pengalaman pahit yang dialami etnik Rohingya di depot tahanan.

“Apabila anda tinggal terlalu lama di depot dan tanpa akses kepada UNHCR, anda akan tertekan dan sakit.

“Tahanan tidak mempunyai akses ke dunia luar, mereka tidak tahu apa yang berlaku di luar. Mereka berada di sini demi mencari kehidupan lebih baik, tetapi sebaliknya dikurung,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.