Sindiket kaut RM2 juta tipu program rekalibrasi tenaga kerja tumpas

Sindiket kaut RM2 juta tipu program rekalibrasi tenaga kerja tumpas

Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,500 hingga RM8,000 seorang bagi mendapatkan pas lawatan kerja sementara untuk pelbagai sektor.

Jabatan Imigresen merampas pasport pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia dan India dipercayai cuba didaftarkan dalam program rekalibrasi tenaga kerja (RTK).
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penipuan program rekalibrasi tenaga kerja (RTK) dalam operasi dijalankan ke atas sebuah premis di Kuala Lumpur 15 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata dalam operasi itu tiga warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 20 hingga 47 tahun ditahan.

Beliau berkata, pihaknya merampas sejumlah 264 naskah pasport pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia dan India dipercayai cuba didaftarkan dalam program RTK.

Katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah RM7,270 dipercayai sebahagian hasil kutipan transaksi harian aktiviti itu.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan premis syarikat pelancongan sebagai lokasi pendaftaran, pengumpulan pasport dan penerimaan bayaran daripada warga asing untuk menyertai program RTK.

“Sindiket juga didapati menjalankan aktiviti menyerupai syarikat ‘outsourcing’ yang telah dimansuhkan dengan menggunakan beberapa syarikat tidak aktif (dormant) untuk mendapatkan kuota pekerja asing bawah program RTK,” katanya dalam kenyataan.

Khairul berkata, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,500 hingga RM8,000 seorang bagi mendapatkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk pelbagai sektor melalui program berkenaan.

Katanya, berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket itu dipercayai berjaya mengaut keuntungan mencecah RM2 juta melalui caj dikenakan ke atas pekerja asing, syarikat atau individu yang menjadi pelanggan mereka.

“Semua tahanan dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kesalahan disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Orang ramai terutama warga asing dan majikan dinasihatkan berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan mendapatkan PLKS yang sah bawah program RTK,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.