Sifat ‘neutral’ Ismail boleh tarik sokongan pengundi atas pagar, kata penganalisis

Sifat ‘neutral’ Ismail boleh tarik sokongan pengundi atas pagar, kata penganalisis

Penganalisis berkata Ismail Sabri Yaakob bersikap neutral dalam meneruskan agendanya sebagai perdana menteri biarpun daripada Umno.

Keputusan untuk menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri daripada Umno bagi PRU akan datang secara strategiknya adalah langkah tepat, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan Umno menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum (PRU) depan akan membolehkannya menarik sokongan pengundi atas pagar kepada parti itu, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Ismail berlaku adil ketika memegang jawatan perdana menteri selepas mengambil alih pentadbiran daripada Muhyiddin Yassin.

“Langkah untuk meningkatkan bayaran tahunan kepada Sabah lebih empat kali ganda dan konsep Keluarga Malaysia menunjukkan beliau adil kepada semua, malah kepada mereka yang tidak menyokongnya,” kata Azmi kepada FMT.

Tonton video di sini.

Azmi Hassan.

Kerajaan baru-baru ini berkata, geran tahunan persekutuan kepada Sabah berjumlah RM125.6 juta tahun ini, meningkat lebih empat kali ganda berbanding RM26.7 juta yang dibayar sebelum ini.

Azmi berkata, Ismail bersikap neutral dalam meneruskan agendanya sebagai perdana menteri daripada Umno dengan beliau memegang jawatan naib presiden.

“Memandangkan Ismail diterima Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pilihan (Ismail sebagai calon perdana menteri Umno) secara strategik adalah langkah yang tepat,” katanya.

Minggu lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mencadangkan Ismail sebagai calon perdana menteri parti itu bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, pemerhati hanya menganggap Ismail sebagai perdana menteri sementara selepas mengambil alih jawatan itu daripada Muhyiddin kerana beliau dilihat tidak sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Awang Azman Pawi.

Manakala seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, Ismail akan dapat meraih undi pengundi atas pagar kerana beliau tidak dianggap berada dalam “hierarki arus perdana Umno” manakala jawatannya sebagai naib presiden tidak terlalu kuat.

Ismail “tidak boleh terlalu berkuasa” kerana tugasnya sentiasa dipantau oleh pimpinan tertinggi dalam parti.

Awang Azman berkata, ini akan memastikan terdapat proses semak dan imbang dalam Umno sendiri memandangkan ahli Parlimen Bera itu tidak diberi kebebasan penuh untuk membuat keputusan kerana perlu berunding dengan pimpinan tertinggi parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.