
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian merujuk akaun pengguna TikTok shafeqyahya yang menayangkan beberapa hadiah kurniaan dari Istana Bukit Serene di sini.
Bagaimanapun, Raja Zarith Sofiah bertitah, baginda tidak mengenali pemilik akaun tersebut.
“Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai kanan kerajaan Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.
“Saya tidak mengenali siapa ‘shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalahgunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga diraja Johor,” titah Raja Zarith Sofiah dalam hantaran Facebook The Royal Johor.
Baginda bertitah, satu laporan polis akan dibuat bagi menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna atau menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.
Terdahulu, dalam beberapa video TikTok yang dikongsikan pemilik akaun itu memaparkan beberapa kurniaan dari Istana Johor seperti loket rantai, syiling berwarna emas, set pen dan tasbih serta samping raya.