Angkara ‘Sabrina’, pengurus syarikat rugi RM1.2 juta

Angkara ‘Sabrina’, pengurus syarikat rugi RM1.2 juta

Semuanya bermula apabila wanita berusia 50-an menerima panggilan telefon daripada 'Sabrina' yang mendakwa mangsa membuat pembelian polisi insurans berjumlah RM70,000.

Polis berkata siasatan mendapati mangsa mengaku mendedahkan maklumat akaun bank dan kad debit miliknya kepada kumpulan terbabit termasuk jumlah wang.
PETALING JAYA:
Seorang pengurus syarikat kerugian RM1.2 juta selepas diperdaya ahli sindiket penipuan dikenali “Sabrina” yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans.

Semuanya bermula apabila wanita berusia 50-an itu menerima panggilan telefon pada 18 Oktober tahun lalu daripada Sabrina, yang mendakwa mangsa membuat pembelian polisi insurans berjumlah RM70,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Elias Omar, berkata selepas wanita itu menafikan pembelian polisi insurans berkenaan, suspek mengarahkan mangsa membuat laporan polis.

Katanya, talian mangsa konon disambungkan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan mangsa kemudian bercakap dengan beberapa individu memperkenalkan diri sebagai “Sarjan Adam”, “Inspektor Mazlan” serta “Inspektor Yong”.

“Mangsa kemudian dimaklumkan terdapat waran tangkap terhadapnya kerana terbabit jenayah pengubahan wang haram dan kes pembunuhan. Mangsa menafikan pembabitan dalam kes jenayah dinyatakan.

“Dia kemudian dihubungi Puan Mastura (timbalan pendakwa raya) konon boleh membuat penangguhan waran tangkap dengan syarat mangsa perlu memberi kerjasama kepada polis dan melaporkan aktiviti hariannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Elias berkata, siasatan mendapati mangsa mengaku mendedahkan maklumat akaun bank dan kad debit miliknya kepada kumpulan terbabit termasuk jumlah wang.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam berjumlah RM900,000 dan Bank Rakyat berjumlah RM200,000,” katanya.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila membuat semakan ke atas kedua-dua akaun bank miliknya pada 11 April lalu dan mendapati wang itu sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga berjumlah lebih RM1.2 juta.

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.