‘Ujian litmus’ buat SAPP, GRS, kata penganalisis

‘Ujian litmus’ buat SAPP, GRS, kata penganalisis

Selepas meninggalkan BN pada 2008, prestasi SAPP dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini dilihat agak buruk apabila gagal memenangi sebarang kerusi.

Pengerusi GRS, Hajiji Noor (dua dari kanan) bersama timbalannya, Jeffrey Kitingan (dari kanan), Maximus Ongkili dan Yong Teck Lee di pejabat Bersatu Sabah di Kota Kinabalu, Mac lalu.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat, penyertaan secara rasmi Parti Progresif Sabah (SAPP) ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan “ujian litmus” bagi mereka selepas gagal memenangi sebarang kerusi dalam beberapa siri pilihan raya.
Tony Paridi Bagang.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, menerusi GRS yang secara rasmi didaftarkan sebagai entiti politik bulan lalu, SAPP berharap akan mendapat tempias populariti gabungan berkenaan sebagai sebuah pakatan politik.

Tonton video di sini.

“Sama ada ia akan mampu mengembalikan sokongan pengundi Cina, ini adalah cabaran besar kepada SAPP kerana jika dilihat kepada pola sokongan serta pengundian pengundi Cina, mereka masih kekal dan cenderung kepada pembangkang khususnya DAP.

“SAPP juga bukan sahaja perlu bersaing dengan DAP dan Warisan untuk kerusi majoriti Cina, malah ia perlu berdepan dengan MCA daripada BN dan seperti yang saya katakan tadi, ia adalah ‘litmus test’ kepada SAPP,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, penyertaan SAPP dalam Perikatan Nasional (PN) dan GRS memberi harapan baharu kepada parti itu.

Bagaimanapun katanya, ia bukan sesuatu yang mudah buat SAPP untuk membuktikan kemampuannya dalam GRS terutama dalam menarik sokongan kaum Cina.

Lee Kuok Tiung.

“Ada yang mengatakan SAPP umpama ‘ikan masin yang hidup semula’ selepas menyertai GRS. Bagaimanapun, sukar bagi SAPP menang sebarang kerusi di kawasan bandar pada PRU akan datang, bukan sahaja SAPP, tapi termasuk parti-parti lain seperti PBS, LDP dan lain-lain.

“Ini kerana sentimen pengundi bandar masih menjurus kepada pembangkang terutama DAP dan jika Warisan mempunyai calon berkaliber di kawasan bandar, mereka juga boleh menang,” katanya.

Selepas meninggalkan BN pada 2008, prestasi SAPP dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini agak buruk apabila gagal memenangi sebarang kerusi termasuk pada pilihan raya negeri (PRN) pada 2020, walaupun mereka bersama dengan GRS.

Baru-baru ini, SAPP yang dipimpin bekas ketua menteri Yong Teck Lee merupakan salah satu parti dalam GRS dan mereka juga menyatakan akan menggunakan logo GRS pada pilihan raya akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.