
Faizal Mokhtar berkata anak guamnya tidak mahu kesnya dilihat daripada perspektif perkauman, tetapi sebagai insiden malang yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Dia (Sam).. berkata, dia kecewa dengan segelintir orang awam yang menyalahkan sistem kehakiman apabila dia disabitkan kesalahan (dan tidak dibenarkan diikat jamin).
“Kes ini bukan (isu) kaum, tetapi adalah kejadian malang yang boleh berlaku kepada sesiapa,” kata Faizal kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini.
Sabitan Sam mendapat reaksi banyak pihak, yang menyaksikan petisyen dalam talian menggesa dia dibebaskan mencecah lebih 860,000 tandatangan setakat hari ini.
Awal hari ini, Mahkamah Rayuan membebaskan kerani Sam dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman.
Hakim Ravinthran Paramaguru membenarkan permohonan ikat jaminnya hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.
Panel hakim turut dianggotai Lee Heng Cheong dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Faizal berkata, Sam telah dijaga dengan baik oleh pegawai penjara sejak seminggu lalu, selain menambah bahawa dia bersyukur dengan keputusan mahkamah.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam, 27, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.
Mahkamah memutuskan bahawa dia gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan terhadapnya.
Sam tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu dan diperintahkan menjalani hukuman serta merta.
Terdahulu, peguam yang mewakili Badan Peguam, MCA dan Persatuan Alumni Undang-undang Universiti Malaya memohon kebenaran mahkamah untuk menjalankan arahan memerhati dalam kes itu.
Bagaimanapun, Ravinthran hanya membenarkan Badan Peguam yang diwakili oleh Ravinder Singh Dhalliwal, untuk hadir.