
Katanya, kejohanan itu tidak menawarkan hadiah wang tunai, tidak seperti kejohanan untuk atlet sempurna anggota fizikal.
Catatan Cheah itu dikritik warganet yang tidak berpuas hati dengan layanan didakwa diterima juara paralimpik itu daripada kementerian selepas beliau memenangi pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo tahun lalu.
Pengguna Instagram, mfakhrul_f7 berkata, walaupun memenangi pingat emas Paralimpik, Cheah dilayan secara tidak adil.
Seorang lagi pengguna bernama justinalwaleed mempersoalkan: “Bukankah kementerian atau agensi kerajaan lain perlu menanggung kosnya?”
Bagaimanapun, Faizal menjelaskan Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2022 bukan satu daripada tujuh kejohanan yang disasarkan Cheah untuk bertanding.
“Liek Hou memutuskan untuk bertanding selepas menerima tawaran tajaan daripada pihak luar.
“Tetapi, penaja tarik diri pada saat-saat akhir, oleh itu beliau terpaksa menanggung kosnya sendiri,” katanya kepada FMT.
Katanya, Cheah dan jurulatihnya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu tidak lama lagi.
Difahamkan, juara dunia perseorangan para sebanyak enam kali itu mengeluarkan wang sendiri kira-kira RM15,000 untuk menyertai kejohanan di Brazil, dengan tiket penerbangan sahaja mencecah RM7,000.
Kejohanan di Brazil itu akan menjadi aksi pertama pemain ranking nombor dua dunia yang berusia 34 tahun itu, selepas menjadi pemenang pingat emas pertama badminton dari Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo pada September 2021.