Khemah besar PH: Muhyiddin akan buat keputusan, kata Wan Saiful

Khemah besar PH: Muhyiddin akan buat keputusan, kata Wan Saiful

Ia selepas Presiden Amanah berkata, pendekatan 'khemah besar' PH tidak termasuk Bersatu dan PAS yang jelas mengkhianati amanah serta mandat rakyat.

Wan Saiful Wan Jan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menyerahkan keputusan berkaitan pilihan raya kepada Presidennya, Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, presidennya akan membuat keputusan selepas DAP dan Amanah menolak kerjasama dengan parti itu.

Beliau berkata demikian selepas DAP dilaporkan menutup pintu kerjasama dengan Bersatu dan PAS kerana tidak lagi mempercayai kedua-dua parti itu yang didakwanya bersikap “tikam belakang”.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut menolak kerjasama dengan Muhyiddin kerana bekas perdana menteri itu menjadi antara penggerak Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Tonton video di sini.

Ditanya sama ada Bersatu ingin menyertai “khemah besar” PH, Wan Saiful berkata, Muhyiddin dan Biro Politik parti itu akan mengadakan perbincangan.

“Kita akan umumkan. Saya pun dalam Biro Politik, elok ada pengumuman rasmi, kalau saya umum awal sangat nanti payah,” katanya kepada FMT.

Ini kerana katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah menyerahkan keputusan berkaitan pilihan raya kepada Presidennya, Muhyiddin Yassin.

“Kita lebih percaya dengan apa yang dilakukan Muhyiddin dan serah pada kebijaksanaan beliau untuk buat keputusan. Pandangan disuarakan Amanah itu adalah pandangan Amanah,” katanya.

Terdahulu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, pendekatan “khemah besar” PH tidak termasuk Bersatu dan PAS kerana gabungan itu tidak mungkin bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah serta mandat rakyat.

Katanya, PKR, Pejuang, Warisan dan Muda tidak wajar dianggap pengkhianat disebabkan pengkhianatan Muhyiddin dan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.