‘Kasanova’ mengaku tak salah tipu wanita RM152,000

‘Kasanova’ mengaku tak salah tipu wanita RM152,000

Hisyah Sayuti, 34, didakwa menipu seorang kerani swasta dan berjanji untuk mengahwininya menyebabkan mangsa menyerahkan wang dan barang kemas.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki “kasanova” didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang kerani syarikat swasta dengan menabur janji untuk mengahwininya hingga memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang dan barang kemas berjumlah RM152,500.

Hisyah Sayuti, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali.

Lelaki itu didakwa menipu wanita berusia 40 tahun itu supaya menyerahkan kepadanya wang dan barang kemas dengan perkahwinan tidak wujud dan wanita itu tidak akan menyerahkannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini antara 6 Feb hingga 6 Mac lalu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja tetap dan hanya melakukan kerja kampung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.