Bantu along khianat guna api, lelaki dipenjara 3 tahun, denda RM20,000

Bantu along khianat guna api, lelaki dipenjara 3 tahun, denda RM20,000

Pua Chee Kang didakwa melakukan kesalahan itu dengan menyebabkan kebinasaan kepada rumah empat individu dan dua motosikal serta kereta.

Seorang pekerja restoran mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan khianat dengan api bagi membantu kegiatan along tahun lalu.
AYER KEROH:
Seorang pekerja restoran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan khianat dengan api bagi membantu kegiatan along tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin dan Maziah Joary Mohd Tajudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Pua Chee Kang, 39.

Di hadapan Nariman, tertuduh menghadapi dua pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan, manakala Maziah Joary menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Pua bagi setiap pertuduhan.

Pua didakwa melakukan kesalahan itu dengan menyebabkan kebinasaan kepada rumah milik empat individu dan dua motosikal serta kereta di sini antara 17 Jan dan 19 Mac 2021.

Bagi semua pertuduhan itu, Pua didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim, Intan Liyana Zainal Abidin dan Anis Najwa Nazari, manakala tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.