7 ditahan, lebih 120kg dadah bernilai RM4.6 juta dirampas

7 ditahan, lebih 120kg dadah bernilai RM4.6 juta dirampas

Polis menganggarkan jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan 602,540 penagih.

Ayub Khan Mydin Pitchay (tiga dari kanan) bersama pegawai menunjukkan sebahagian dadah bernilai RM4.6 juta yang dirampas dalam enam serbuan di sekitar Kelantan dalam sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas 101.5kg dadah jenis syabu, 19kg pil kuda serta empat liter ubat batuk bernilai RM4.6 juta dalam enam serbuan di Kelantan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tujuh suspek berumur 25 hingga 46 tahun, termasuk sepasang suami isteri, turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu yang dipercayai aktif sejak Disember lalu adalah menyeludup bekalan dadah melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan.

“Saringan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek itu negatif dadah, namun seorang suspek didapati mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kesemua mereka ditahan reman hingga 22 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB,” katanya dipetik Bernama dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat dan Ketua JSJN Kelantan, Sheik Azhar Sheik Omar.

Ayob Khan berkata, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh 602,540 penagih.

“Tindakan juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakkan Harta) 1988 dan JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket ini yang dianggarkan bernilai RM538,943.50, termasuk 11 kenderaan, pelbagai barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, beg berjenama dan wang tunai.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM6,143,343.50 dan hasil operasi kali ini JSJN berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini untuk pasaran tempatan.”

Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.