
Menurut waris yang minta tidak dinamakan, pengurusan DQI memuat naik satu poster meminta sumbangan orang ramai yang mengandungi ayat menguris hati. Dalam poster yang dikongsikan dengan FMT, tertera ayat “Darul Quran Ittifaqiyah juga telah melahirkan 23 syuhadat dalam kebakaran 14 September 2017”.
“Ayat dalam grafik itu membayangkan seolah-olah pihak tahfiz bangga dengan kejadian kebakaran itu. Saya tidak pasti untuk waris lain, bagi saya sekadar ingin meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan yang sebegitu.
Tonton video di sini.
“Beraninya meminta sumbangan dengan menggunakan perkataan melahirkan para syuhadat,” katanya kepada FMT.
Difahamkan pihak DQI telah menurunkan poster tersebut daripada Facebook, dan memuat naik poster baharu tanpa ayat itu.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tahfiz untuk mendapatkan sumbangan orang ramai amatlah tidak wajar, dengan secara terang-terangan menggunakan ayat melahirkan seramai 23 orang para syuhadat.
“Sedangkan isu kebakaran tersebut satu tragedi yang menghayat hati dan masih dalam perbicaraan mahkamah,” katanya, yang masih terkesan dengan kematian anaknya dalam tragedi lebih empat tahun lalu.
Pada Sept 2017, sekurang-kurangnya 21 pelajar dan 2 orang guru maut dalam kebakaran yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai perbuatan khianat. Seorang remaja dijatuhi hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah membakar pusat tahfiz berkenaan.
Kes saman sivil pihak waris terhadap pengurusan tahfiz masih berlangsung selepas masing-masing gagal mencapai kata sepakat berhubung agihan wang sumbangan orang ramai.
Pengetua DQI, Mohd Zahid Mahmood, mengesahkan kepada FMT bahawa pihak pengurusan ada menggunakan poster yang mengandungi ayat ‘melahirkan syuhadat’, dan poster itu dipadam selepas mendapatkan pandangan beberapa pihak.
Zahid berkata ayat itu telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
“Kita buat ayat melahirkan syuhadat maksudnya begini, bukan semua sekolah tahfiz boleh melahirkan syuhadat. Yang melahirkan syuhadat ini pilihan Allah. Allah telah lahirkan para syuhadat di tahfiz ini.
“Ada 1,500 tahfiz tapi tahfiz ini yang dipilih. Bukan semua tahfiz yang Allah izin untuk syuhadat berlaku disitu,” katanya kepada FMT.
Zahid bertegas penggunaan ayat itu tidak salah tetapi telah diperbesarkan untuk mencalarkan imejnya.
“Ia bukan tentang isu salah ke apa ke sebab maksud orang lain, pemahaman orang lain. Ibu bapa ini saja je tu sebab usaha mereka nak burukkan ustaz sebelum ini tak menjadi.”
“Kita bukan nak gunakan nama pelajar. Kita bukan nak kumpul duit ratus ribu pun. Hanya untuk anak-anak buka puasa dan bersahur saja,” katanya.