Polis percaya suspek tetak 4 sekeluarga masih di Johor

Polis percaya suspek tetak 4 sekeluarga masih di Johor

Polis giat mengesan suspek berusia 38 tahun yang juga pekerja ladang nanas.

Polis giat memburu pekerja ladang nanas Mohd Adi Hashim yang disyaki menetak ahli keluarganya.
PETALING JAYA:
Suspek lelaki yang menetak empat ahli keluarganya ketika menunggu untuk berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, Khamis lalu dipercayai masih bersembunyi di negeri itu.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata pihaknya kini giat mengesan suspek berusia 38 tahun itu yang juga pekerja ladang nanas.

“Kami yakin suspek masih bersembunyi di Johor dan jika ada tangkapan kami akan maklumkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Hussin dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada 7.11 malam ketika empat beranak terbabit menunggu waktu berbuka puasa.

Suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk sebelum menetak isterinya berusia 30-an dan ibu mentua berusia 50-an serta dua adik iparnya masing-masing lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an menggunakan parang.

Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian itu.

“Punca kejadian belum diketahui dan polis giat menyiasat motif serangan.

“Polis giat mengesan suspek dari Felda Air Tawar 3, bagi membantu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019 5121568 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07 8831222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.