
Dalam kenyataan di Twitter, ahli Parlimen Pontian itu berkata PN yang sebenar hanya sekadar 25 kerusi sahaja.
“Cuba kira: Bersatu 31, PAS 18, STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) 1, baru 50.
“GPS (Gabungan Parti Sarawak) 18 itu bukan PN. PPBM yang 31 itu pun 15 kerusi Umno/BN (Barisan Nasional) dan 10 bekas PKR. Sebenar PN ialah Bersatu yang bukan pelompat cuma 6, PAS 18, STAR 1, baru 25, bukan 70,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai membalas laporan Berita Harian semalam, yang melaporkan Hadi berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan berunding dengan PN mengenai keputusan tidak melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) Putrajaya dengan Pakatan Harapan.
Presiden PAS itu menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai MoU perlu dibuat bersama oleh parti yang membentuk kerajaan persekutuan. Dalam laporan itu, Hadi dipetik sebagai berkata kerajaan sekarang didominasi PN yang mempunyai 70 kerusi.
Dalam pada itu, Ahmad menafikan dakwaan baru-baru ini yang dibuat Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bahawa pencalonan Ismail sebagai perdana menteri bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah helah untuk mendesak mereka mengadakan pilihan raya secepat mungkin.
Beliau berkata, Umno tiada helah tersembunyi dan setiap parti berhak menamakan calon atau pemimpin mereka sebagai perdana menteri masing-masing.
“Itu adalah hak kita (untuk menamakan dia), bukan helah atau apa ke, (PRU15) bila-bila masa yang didapati sesuai oleh perdana menteri dapat diadakan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut laporan Bernama dalam satu majlis iftar di Pontian malam tadi.
Beliau juga berkata, MoU dengan PH tidak akan dilanjutkan selepas 31 Julai.