Keluarga Ruth ‘harap Suhakam dapat gesa tindakan’

Keluarga Ruth ‘harap Suhakam dapat gesa tindakan’

Mereka berharap penemuan Suhakam mempunyai sedikit nilai untuk mendorong pihak berkuasa Malaysia mendedahkan fakta kes, kata pegawai kedutaan Indonesia.

Ruth Sitepu dan suaminya Joshua Hilmy, seorang pastor berbangsa Melayu, kali terakhir dilihat pada November 2016 di rumah mereka di Petaling Jaya.
PETALING JAYA:
Keluarga warga Indonesia, Ruth Sitepu mengharapkan penemuan “lebih penting” dalam inkuiri awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan beliau dan suaminya, Joshua Hilmy.

Jurucakap kedutaan Indonesia berkata, ia telah berhubung dengan keluarga itu sebelum Suhakam menyampaikan keputusan inkuiri.

“Keluarganya benar-benar berharap agar penemuan Suhakam mempunyai sedikit nilai untuk mendorong pihak berkuasa Malaysia mendedahkan fakta kes dan mengusahakan sesuatu yang besar bagi meringankan penderitaan mereka,” katanya kepada FMT.

Ruth dan Joshua, seorang pastor berbangsa Melayu, kali terakhir dilihat pada November 2016 di rumah mereka di Petaling Jaya.

Pada Jumaat, inkuiri awam Suhakam menyatakan bahawa pasangan itu adalah mangsa kehilangan secara paksa.

Bagaimanapun katanya, ia tidak menemui bukti bahawa mereka diculik oleh “ejen kerajaan”.

Pegawai Indonesia itu berkata, keluarga Ruth menaruh harapan tinggi agar kerajaan Indonesia dapat mendedahkan kebenaran mengenai kehilangannya.

Katanya, masyarakat awam di Indonesia mengikuti rapat perkembangan kes itu. Beliau kesal kes itu masih belum selesai setelah berlarutan sekian lama.

Inkuiri Suhakam itu dipengerusikan oleh pesuruhjaya Mohd Hishamudin Yunus, seorang pesara hakim mahkamah rayuan.

Beliau berkata, kehilangan mereka diakibatkan oleh “satu atau lebih orang yang tidak dikenali dengan persetujuan pihak berkuasa”, dan polis gagal menyiasat kes itu dengan teliti.

Rama Ramanathan daripada kumpulan Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED) menyifatkan siasatan polis sebagai “cincai, lembab dan kurang serius”, dan menggesa pihak polis dan kerajaan agar mengambil tindakan.

Inkuiri Suhakam berlangsung dari 10 Feb 2020 hingga 22 Jan tahun ini, membabitkan 26 saksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.