Cuepacs cadang gaji minimum RM1,800

Cuepacs cadang gaji minimum RM1,800

Ia susulan peningkatan kos sara hidup yang menyebabkan pendapatan bulanan penjawat awam tidak mencukupi.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, jumlah perbelanjaan ketika ini dilihat tidak adil dengan harga barang yang semakin hari semakin mencengkam.
KUALA LUMPUR:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan kerana pendapatan semasa tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, kata presidennya, Adnan Mat.

“Pada masa ini kami kurang selesa dengan dapatan gaji ini, perbelanjaan juga tidak adil dengan harga barang yang semakin hari semakin mencengkam. Justeru itu situasi ini amat tidak adil untuk pendapatan (penjawat awam) sebegitu rupa.

“Kami telah buat cadangan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini perlu ditingkatkan kepada RM1,800. Walaupun kerajaan meluluskan RM1,500 untuk GLC (syarikat berkaitan kerajaan), tetapi kami mahu RM1,800,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa yang diadakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs di sini hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lalu mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini. Ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan GLC.

Sementara itu, Adnan berkata, apabila berlakunya perubahan gaji minimum yang baharu, akan berlaku tangga gaji yang rapat antara pekerja baharu dan pekerja lama, maka pihaknya memohon dua kenaikan gaji untuk penjawat awam.

Selain itu, Adnan berkata, sistem saraan baharu hendaklah dijalankan segera supaya ia lebih komprehensif dan penjawat awam mampu untuk berada dalam keadaan selesa dengan perbelanjaan yang adil.

“Sebab kita telah pun 20 tahun menjalankan sistem saraan yang sama iaitu Sistem Saraan Malaysia, jadi sistem saraan ini perlu diganti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.