
Menurut Saiful, tidak tertera dalam perlembagaan BN bahawa presiden Umno harus menjadi pengerusi kepada gabungan parti itu.
Bahkan, tegas beliau lagi, perlembagaan berkenaan jelas menyebut penyandang kepada jawatan itu hendaklah dipilih daripada kalangan ahli dewan tertinggi BN.
“Ku Nan kata dalam perlembagaan BN, siapa presiden Umno automatik jadi pengerusi BN. Ku Nan tersilap. Sebenarnya pengerusi BN dipilih anggota dewan tertinggi BN.
“Sekiranya pengerusi BN letak jawatan. Anggota dewan tertinggi BN harus memilih pengerusi baharu,” kata Saiful menurut laporan Astro Awani.
Semalam, media memetik Tengku Adnan yang juga bekas setiausaha agung Umno sebagai berkata, perlembagaan menyebut sesiapa yang menjadi presiden Umno dan dipilih dalam kalangan gabungan, individu itu akan menjadi pengerusi BN.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu diangkat menjadi pengerusi dan juga pengarah jentera pilihan raya BN.
Dalam pada itu, Tengku Adnan turut mengulas mengenai dakwaan keputusan majlis kerja tertinggi Umno agar Ismail diletakkan sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum seterusnya, tidak semestinya menjanjikan ahli Parlimen Bera itu jawatan tersebut.
“Ada pula cerita kononnya bukan bermaksud jadi ‘poster boy’ dia jadi perdana menteri… itu kita perlu serah kepada Allah. Mana kita tahu. Di Johor pun kita tak tahu, Hasni Mohammad jadi poster boy, tiba-tiba orang lain jadi MB. Ini pun kita tidak tahu,” katanya.